
PONTIAN: Dua bulan selepas kehilangan bapa, Syasya Nasuha Zainal, 17, melangkah ke satu lagi ujian apabila terpaksa berkerusi roda ketika memasuki dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 selepas kaki kanannya bengkak akibat terjatuh.
Calon aliran sastera dari Taman Saujana, Parit Semerah itu terjatuh di Stadium Mini Pontian pada Sabtu lalu.
Syasya Nasuha berkata, namun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk menduduki peperiksaan selepas belajar bersungguh-sungguh demi meraih keputusan cemerlang.
“Doktor pernah menyarankan supaya ambil peperiksaan di hospital kerana mendapat cuti sakit, tetapi saya tolak dan memilih untuk ambil SPM di sekolah. Saya hendak menduduki peperiksaan di sekolah bersama dengan rakan-rakan lain,” katanya ketika ditemui sebelum memasuki dewan peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat, di sini, hari ini.
Dia merupakan antara antara 204 calon yang menduduki SPM di pusat peperiksaan sekolah berkenaan bermula hari ini.
Sebelum ini, anak sulung daripada dua beradik itu masih bersedih dengan kehilangan bapanya, Zainal Hasbullah, 44, yang meninggal dunia pada 15 September lalu akibat komplikasi buah pinggang.
Kini tanggungjawab sebagai bapa di galas oleh Ibunya, Norul Fathiah Mustapha, 44 tahun.
Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Zulkurnain Abdul Rahman memaklumkan, seramai 51,371 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2026 di 367 pusat peperiksaan di seluruh negeri, dengan 4,484 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran peperiksaan. – UTUSAN
The post Syasya tabah duduki SPM berkerusi roda selepas kehilangan bapa appeared first on Utusan Malaysia.





