Syawal Penerus Amalan Bulan Ramadhan

1 May 2023 • 10:30 AM MYT
Mohamad Azim
Mohamad Azim

Just a normal Malay bloke. Writer by profession.

image is not available
Apalah erti kemenangan pada bulan Syawal jika apa yang kita lakukan pada Ramadhan dilupakan. Sumber: Azim Rahman/The Vibes

Dengan Ramadhan sudah berlalu, Syawal pula menjelma. Benar, sambutan Aidilfitri merupakan satu keraian kerana berjaya berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan. Tetapi pada masa sama, teruskan apa yang dilakukan pada bulan mulia itu dalam bulan-bulan yang seterusnya termasuk Syawal.

Bukannya apa, pengalaman berada dalam bulan Ramadhan itu seolah-olah menghadiri sekolah spiritual yang memberi kesegaran dan kebersihan kepada jiwa. Jika pengajarannya dihayati dan diteruskan pada bulan-bulan lain, ini bermakna individu tersebut benar-benar meraih kemenangan bermakna selepas berlalunya Ramadhan.

Contoh paling mudah, isu pembaziran makanan. Kita faham dalam bulan Ramadhan, kalau sudah lapar, makanan yang dibeli kadang-kadang melebihi apa yang kita beli pada bulan-bulan lain. Bila tak dimakan atau dibeli, makanan tersebut terpaksa dibuang. Kan sayang sedangkan ia boleh saja diberi kepada orang lain lagi-lagi dengan isu harga barang asas yang naik ketika ini?

Yang patut diperbanyakkan bukanlah sampah sarap termasuk makanan yang sudah basi dan busuk. Tetapi amalan-amalan yang dituntut dalam agama seperti solat, membaca al-Quran dan bersedekah. Bila keutamaan sebegini diperbetulkan, baru nampak bahawa sebenarnya kita perlu bersederhana dan berbelanja bak ukur baju di badan sendiri, bukannya mengikut telunjuk syaitan dengan membazir.

Satu lagi perkara yang patut diperbetulkan ialah menjadikan amalan menjalin silaturahim dan bermaafan sebagai amalan harian dan bukannya bermusim. Benar, semasa Syawallah, masa untuk bersua dengan keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga. Tetapi jangan hadkan kepada ziarah-menziarahi saja. Dengan kecanggihan teknologi hari ini, nak menjalin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan itu jauh lebih mudah berbanding pada masa dahulu.

Dan itu antara amalan yang disukai Allah dan Rasul-Nya. Ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w mafhumnya, "Siapa suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim." (Riwayat Bukhari)

Begitu juga dengan bermaaf-maafan. Entah kenapa kita ini susah sangat nak mengaku kesilapan dan memohon maaf, baik kepada ahli keluarga, rakan-rakan mahupun orang sekitar. Kita terlupa kita makhluk yang lemah dan kerap melakukan kesilapan baik dengan Dia mahupun dengan makhluk lain termasuk manusia.

Apa salahnya jadikan ini sebagai amalan harian. Sekurang-kurangnya, ia meredakan tekanan dan menunjukkan kebesaran jiwa untuk mengendurkan konflik sesama kita. Dan ia juga amalan yang dikasihi Allah dan Rasul-Nya. Ada beberapa dalil seperti firman-Nya dalam ayat 199, Surah Al-A'raf mafhumnya, "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh."

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya,) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah kecuali Dia akan meninggikan (darjat)nya (di dunia dan akhirat)." (Riwayat Muslim)

Tetapi yang paling penting, kekalkan semangat kekitaan yang dibentuk semasa Ramadhan. Perlu diingat, kita ini manusia di mana kita saling memerlukan dan menghormati antara satu sama lain Kalau nak hidup hanya pentingkan diri sendiri, yang susah pada akhirnya kita sendiri. Sebab itu, kekalkan semangat berkenaan kerana ia sentiasa relevan tanpa mengira tempat mahupun masa.

Jadi, sebelum anda berhenti membaca ini, tanya kepada diri sendiri, "Apakah sekurang-kurangnya satu perkara dipelajari dan ingin diamalkan secara istiqamah pada bulan selepas Ramadan?" Renung-renungkan dan selamat beramal.


Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.