Syed Modi: Zi Yu-Noraqilah tempah slot suku akhir

26 Nov 2026 • 8:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Syed Modi: Zi Yu-Noraqilah tempah slot suku akhir

KUALA LUMPUR – Beregu wanita muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan meneruskan misi memburu gelaran kedua musim ini selepas melangkah ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di India.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Akademi Badminton BBD U.P. Lucknow, India sebentar tadi, pasangan No.39 dunia itu menewaskan beregu tuan rumah, Ananya Arun-Anjana Manikandan 21-16, 21-16.

Turun sebagai pilihan keenam kejohanan, Zi Yu-Noraqilah bagaimanapun tidak berdepan laluan mudah apabila diberikan tentangan sengit seawal set pertama biarpun mereka dilihat lebih banyak menguasai permainan.

Ananya-Anjana yang menerima sokongan padu penyokong sendiri nyata tidak mudah menyerah kalah apabila memberikan segala-galanya dalam kedua-dua set permainan, namun masih gagal menyekat kemenangan Zi Yu-Noraqilah ke suku akhir.

Sebagai rekod, pasangan muda itu sudah pun memiliki satu gelaran musim ini selepas muncul juara pada kejohanan Antarabangsa Estonia yang berlangsung Januari lalu.

Mengiringi Zi Yu-Noraqilah ke suku akhir esok adalah perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang menewaskan pemain India, Pranay Shettigar menerusi aksi straight-set 21-11, 21-18.

Sementara itu, Wong Ling Ching juga meneruskan kemaraan dalam acara perseorangan wanita selepas turut menumbangkan pemain India, Tanya Hemanth dengan keputusan tiga set 16-21, 21-13, 21-17.

Hasrat perseorangan lelaki kebangsaan, Eogene Ewe untuk meneruskan cabaran bersama rakan senegara tidak tertunai selepas tewas 5-21, 14-21 kepada pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin. – KOSMO! ONLINE

The post Syed Modi: Zi Yu-Noraqilah tempah slot suku akhir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved