Syed Omar Albar dilantik sebagai GCEO Heitech Padu ganti Hasrul Azuan mulai 26 Mei 2025

05/05/2025 - 17:58
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 5 Mei - Heitech Padu Bhd melantik Syed Omar Albar Syed Abdullah, 38, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) berkuat kuasa 26 Mei 2025 menggantikan Hasrul Azuan Mohd Yusof yang meletakkan jawatan kerana mengejar peluang kerjaya lain.
Kumpulan itu berkata, beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) memiliki pengalaman lebih 13 tahun dalam pelbagai sektor termasuk pelabuhan dan logistik, telekomunikasi, pembangunan hartanah, tenaga boleh diperbaharui (RE) serta perkhidmatan kerajaan.
"Beliau menunjukkan keupayaan dalam pengurusan pihak berkepentingan, promosi dan penjualan tanah, penjenamaan semula organisasi dan anak syarikat serta menyelia perhubungan media, dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Terdahulu, wujud spekulasi berleluasa menyatakan Hasrul Azuan dan pemegang saham tidak sehaluan sebagai punca perletakan jawatannya.
Terdapat juga spekulasi bahawa mungkin pekerjaan itu tidak sesuai dengan Hasrul Azuan kerana Heitech adalah firma maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) manakala Hasrul pula seorang ahli perbankan profesional.
Sebelum menyertai penyedia perkhidmatan sistem dan rangkaian bersepadu, Hasrul Azuan berkhidmat sebagai naib presiden eksekutif dan ketua pembangunan perniagaan di Malayan Banking Berhad.
Syed Omar yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada University of Information Technology and Management, Rzeszow, Poland memulakan kerjayanya pada 2010 sebagai Penolong Khas kepada Pengarah Eksekutif Jalur Lebar Nasional Sdn Bhd.
Pada 2012, beliau menyertai Johor Port Berhad sebagai Ketua Komunikasi Korporat.
Pada 2015, beliau dilantik sebagai Pengurus Pelabuhan & Logistik di PKNPk, sebelum menyertai anak syarikatnya, Perak Teamwork Sdn Bhd (PTSB), sebagai Pengurus Pembangunan & Promosi Industri.
"Beliau dinaikkan pangkat di PTSB dan dilantik sebagai Pengurus Besar pada 2020.
"Syed Omar kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pengarah di PKNPk, di mana beliau telah diamanahkan dengan pelbagai portfolio. Pada 2022, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Eksekutif, jawatan yang disandangnya sehingga peletakan jawatan dalam PKNPk," katanya. - DagangNews.com
featured standard

