Ketua Pembangkang desak tangguh rasionalisasi RON95, kenaikan tarif elektrik

05/05/2025 - 16:51
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 5 Mei — Kerajaan seharusnya menangguhkan rancangan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan cadangan menaikkan tarif elektrik ketika Malaysia masih berdepan dengan ketidaktentuan dalam ekonomi global, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Pembangkang itu turut mendesak kerajaan supaya menundakan terlebih dahulu urus niaga pembelian sejumlah 30 buah pesawat baharu Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG).
“Rasionalisasi subsidi RON95 yang dijangka pada Jun tahun ini harus ditangguhkan dan jika boleh, tolong tangguhkan juga kenaikan tarif elektrik dijadualkan pada Julai ini.
"Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kerajaan juga wajar menunda pembelian 30 pesawat Boeing. Itu permintaan kami (pembangkang) di sini," katanya pada sidang khas Parlimen hari ini untuk membincangkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).
Baru-baru ini, kerajaan turut mengumumkan penangguhan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada Jun 2025 daripada asalnya dirancang bermula pada Mei 2025 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Terdahulu, Hamzah (PN-Larut) dalam ucapannya menggesa kerajaan membentuk jawatankuasa khas dwipihak atau pasukan petugas yang melibatkan pelapis dan pemimpin pembangkang bagi membincangkan kesan isu tarif semasa AS ke atas Malaysia.
“Pembangkang boleh memberi pandangan dan cadangan semasa mesyuarat jawatankuasa yang dicadangkan itu.
“Perkara ini pernah dilakukan kerajaan Persekutuan pada 2016 untuk menyemak Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” kata Hamzah.
Beliau juga menekankan kepentingan Malaysia untuk terus mengekalkan sikap berkecuali ketika perang perdagangan antara AS dan China semakin sengit sejak akhir-akhir ini.
“Kita tidak sepatutnya dilihat berpihak kepada satu negara,” tambah Hamzah yang turut menyatakan lebihan dagangan Malaysia dengan AS telah menurun secara konsisten sejak 2022.
Menurutnya, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM255 bilion pada 2022, sebelum merosot kepada RM214 bilion pada 2023 dan hanya RM136 bilion pada 2024.
“Ini bermakna ia sudah berkurangan. Kita harus memandang serius perkara ini. Ini adalah kebimbangan kita semua, jangan kita ambil mudah isu ini," kata beliau.
Hamzah juga berkata walaupun AS mengecualikan tarif ke atas produk elektronik, tenaga, dan farmaseutikal, namun lebih banyak perubahan boleh diumumkan pada masa hadapan.
“Tarif itu dibimbangi boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem ekonomi di negara kita, termasuk sektor pertanian,” katanya.
Sehubungan itu, Hamzah menggesa kerajaan untuk mengutamakan keselamatan makanan kerana ia merupakan aspek penting dalam negara.
“Kurangkan hasil pertanian dan makanan yang diimport. Kita harus membantu petani tempatan. Kerajaan harus mengutamakan kepentingan petani atau nelayan,” tambahnya.
Sidang khas itu menyaksikan ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua pihak membahaskan isu tarif setelah usul dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 2 April 2025, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif asas 10 peratus ke atas semua negara dan levi 24 peratus yang lebih curam, khususnya menyasarkan barangan Malaysia.
Trump kemudian membenarkan penangguhan selama 90 hari pada tarif timbal balik untuk semua rakan dagangan, kecuali China yang berkuat kuasa pada 9 April 2025. - DagangNews.com
standard

