Syeikh Al-Azhar contoh kepimpinan wasatiyyah, perpaduan ummah - Anwar

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 12:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Syeikh Al-Azhar contoh kepimpinan wasatiyyah, perpaduan ummah - Anwar
Anwar bersama tokoh pendakwah Sheikh Khaleel Ismael Elias melihat buku Terjemahan Tafsir Surah Al-Insan karya Sheikh Khaleel pada Majlis Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan yang tinggi terhadap Imam Besar al Azhar al Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad Al-Tayyeb yang disifatkan sebagai antara tokoh paling lantang memperjuangkan pendekatan wasatiyyah dalam menangani isu-isu semasa.

Anwar, dalam buku "Di Mihrab Al-Tayeb” yang dipetik Facebook rasmi al Azhar al Sharif, berkata,  tokoh ulama itu telah menggesa agar usaha dipertingkatkan bagi memperkukuh perpaduan ummah, menyemai nilai kasih sayang, saling menghormati dan kehidupan bermasyarakat yang harmoni sesama umat Islam dan bukan Islam.

"Pada usia 80 tahun, Dr Ahmad Al-Tayyeb masih aktif menangani pelbagai isu yang melangkaui sempadan institusi dan zaman, sekali gus membentuk kefahaman mengenai hubungan antara agama, kepimpinan dan kehidupan bersama dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

Buku terbitan Majlis Hukama Muslimin itu yang dilancarkan awal tahun ini sempena ulang tahun kelahiran ke-80 Al-Tayyeb, antara lain menghimpunkan testimoni pemimpin agama serta pemikir antarabangsa mengenai tokoh itu.

Anwar turut menyifatkan Al-Tayyeb sebagai tokoh yang bukan sahaja mempertahankan prinsip dan kedudukan umat Islam melalui ucapan, malah menterjemahkannya menerusi akhlak, keilmuan dan amalan, selain terus mempertahankan pendekatan wasatiyyah yang bijaksana dalam menghadapi cabaran semasa.

Menurut Anwar selain peranannya dalam dunia Islam, Al-Tayyeb turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh dialog antara penganut pelbagai agama.

Beliau berkata, usaha itu terserlah menerusi pemeteraian Dokumen Persaudaraan Insaniah bersama Pope Francis di Abu Dhabi pada 2019, yang membawa mesej keimanan dan mendorong seseorang mukmin untuk melihat orang lain sebagai saudara yang berhak menerima kasih sayang, sokongan dan penghormatan.

Anwar berkata, sumbangan Al-Tayyeb dalam mempromosikan nilai kesederhanaan, persefahaman dan keharmonian antara agama terus menjadi inspirasi dalam memperkukuh perpaduan serta keamanan masyarakat majmuk di peringkat global. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved