Syor bina saluran paip bawah tanah atasi isu air Pulau Sebatik 

21 Nov 2026 • 4:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Syor bina saluran paip bawah tanah atasi isu air Pulau Sebatik 

TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (gambar) mencadangkan pembinaan saluran paip bawah tanah bagi menghubungkan Empangan Cinta Mata ke Pulau Sebatik sebagai penyelesaian jangka panjang isu air di pulau itu.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan penduduk tidak terus bergantung kepada kaedah penghantaran air dari rumah ke rumah setiap kali musim kemarau yang pada kebiasannya akan berulang dalam tempoh dua tahun.

Katanya, penyelesaian lebih menyeluruh perlu diberikan perhatian oleh Kerajaan Persekutuan kerana beliau berpandangan kaedah pengagihan air secara berterusan adalah membebankan dan menyusahkan penduduk.

Andi berkata beliau membangkitkan isu berkenaan pada persidangan Parlimen baru-baru ini, khususnya mengenai status dan perkembangan terkini projek Empangan Cinta Mata yang dijangka siap menjelang 2028.

Antara cadangan lain yang turut dikemukakan, termasuklah penambahan off-river storage serta pembinaan saluran paip penghubung tambahan ke empangan bagi meningkatkan kapasiti dan bekalan air.

Berkenaan cadangan pembenihan awan, Andi berkata kaedah itu merupakan antara pilihan yang ada, namun pelaksanaannya perlu disahkan terlebih dahulu bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Cabaran utamanya pula adalah kawasan tadahan air (catchment area) Empangan Wallace Bay terhad sekali gus menyebabkan keberkesanan pembenihan awan bergantung kepada taburan hujan di kawasan tadahan tersebut,” katanya.

Bagi cadangan penggunaan teknologi penyahgaraman (desalination plant) air laut pula, beliau berkata kaedah itu memerlukan kos yang tinggi dan agak mahal untuk dilaksanakan.

Beliau bercakap kepada media selepas penyerahan wakaf al-Quran kepada sekolah rendah dan menengah, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) serta anggota keselamatan seluruh kawasan Kalabakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, bagi menangani isu air yang kerap menjadi keluhan rakyat Pulau Sebatik, kerajaan sudahpun melaksanakan penyelesaian jangka pendek menerusi langkah membaik pulih telaga serta tube well sedia ada untuk kegunaan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan air telaga memerlukan penyelenggaraan berkala, malah terdapat juga kebimbangan terhadap kualiti air yang dihasilkan.

Sementara itu, Andi menyatakan 1, 000 rumah di Pulau Sebatik bakal menerima bantuan bekalan air menerusi penyediaan tiga tangki air oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kalabakan, dijangka bermula minggu hadapan.

Menurutnya, paras air di Empangan Wallace Bay ketika ini berada pada tahap sederhana dan masih belum mencukupi untuk keperluan penduduk memandangkan keadaan hujan di kawasan bandar dan tanah besar Tawau, tidak dirasai di Sebatik.

Justeru, beliau berharap usaha Jabatan Air mengagihkan bekalan air melalui bantuan penghantaran terus ke rumah penduduk dapat diteruskan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved