
Kota Kinabalu: Satu jawatankuasa khas mungkin ditubuhkan bagi menangani masalah banjir kilat yang berulang serta memastikan sistem perparitan di kawasan berisiko tinggi dalam kawasan Parlimen Sepanggar diselenggara secara berkala.
Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau akan mengemukakan cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan kepada Mayor Kota Kinabalu susulan kejadian banjir kilat yang kerap melanda beberapa kawasan khususnya Inanam dan Darau.
Katanya jika jawatankuasa seumpama itu belum diwujudkan ia boleh berperanan menyelaras persediaan dan kerja penyelenggaraan terutama di lokasi yang dikenal pasti sering dilanda banjir bagi mengurangkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh.
“Fenomena ini berlaku agak meluas di Sepanggar. Minggu lalu Karambunai terjejas teruk manakala beberapa kawasan di Darau dan Inanam turut terjejas.
“Minggu ini pula keadaan beralih ke Inanam dan Darau yang sememangnya merupakan kawasan yang kerap mengalami banjir,” katanya ketika meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Pekan Manggatal pada Sabtu.
Mustapha berkata semua agensi berkaitan perlu terus berwaspada manakala kerja penyelenggaraan hendaklah dilaksanakan secara berkala bagi menangani masalah berkaitan sistem perparitan dan infrastruktur.
Katanya beberapa kawasan yang sering dilanda banjir turut terjejas akibat aktiviti pembinaan serta kerja-kerja jalan raya dan infrastruktur yang memerlukan perhatian lebih dekat.
Sementara itu pendaftaran mangsa banjir di PPS berkenaan dilanjutkan sehingga jam 4 petang pada Ahad bagi memastikan semua mangsa yang terjejas dapat dikenal pasti dan disahkan sebelum bantuan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diagihkan.
Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) khususnya mayor selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Kota Kinabalu kerana memberi tempoh tambahan kepada mangsa untuk membuat pendaftaran.
Beliau berkata proses pendaftaran dan pengesahan penting bagi memastikan data tepat dapat dikumpulkan serta bantuan disalurkan kepada mangsa yang benar-benar terjejas terutama mereka yang rumahnya dinaiki air dan mengalami kerosakan harta benda.
Katanya data berkenaan akan disahkan DBKK bersama ketua kampung, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi berkaitan lain.
Beliau berkata setiap tuntutan juga perlu disertakan laporan polis dan disahkan oleh ketua kampung atau pengerusi JKKK masing-masing.
Mustapha berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir masih belum dapat ditentukan berikutan proses pendaftaran masih berlangsung.
Katanya jawatankuasa yang dicadangkan itu juga dapat membantu memastikan penyelarasan antara agensi berkaitan dilaksanakan dengan lebih baik selain membolehkan langkah pencegahan di kawasan berisiko banjir di Sepanggar dilakukan secara lebih sistematik.






