TA Research hentikan liputan ke atas saham Astro, saran Jual pada harga sasaran 6 sen

Business & Finance
1 Oct 2026 • 10:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Research hentikan liputan ke atas saham Astro, saran Jual pada harga sasaran 6 sen Image from: TA Research hentikan liputan ke atas saham Astro, saran Jual pada harga sasaran 6 sen liza01/10/2026 - 10:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt – TA Research menghentikan liputan terhadap Astro Malaysia Holdings Berhad dengan saranan terakhir “Jual” dan sasaran harga 6 sen sesaham disebabkan kemerosotan berterusan terhadap hasil iklan dan langganan.

 

Firma penyelidikan itu berkata prestasi suku kedua Astro lebih rendah daripada unjuran TA Research dan konsensus bagi tahun kewangan penuh terutama disebabkan pendapatan iklan yang lemah, hasil langganan lebih rendah dan kos kewangan yang meningkat.

 

Hasil Astro turun 7.2% tahun ke tahun kepada RM634 juta pada 2QFY27 daripada RM683 juta setahun sebelumnya, dengan hasil langganan televisyen berbayar susut 8% dan Adex merosot 13.1%.

 

Secara suku tahunan, hasil juga turun 3.9% daripada RM660 juta, terutama akibat kemerosotan Adex sebanyak 22.1% kepada RM53 juta dan hasil langganan yang susut 2.4% kepada RM523 juta.

 

Astro One belum beri peningkatan langganan

TA Research berkata, usaha Astro memperbaharui perkhidmatan televisyen berbayar menerusi Astro One masih belum memberikan peningkatan langganan seperti yang diharapkan.

 

Sebaliknya, strategi itu menyebabkan sebahagian pelanggan beralih kepada pakej pada harga lebih rendah yang menjejaskan jumlah pelanggan dan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU).

 

Jumlah pelanggan televisyen Astro turun 2.1% tahun ke tahun kepada 5.128 juta pada 2QFY27 daripada 5.236 juta, manakala ARPU susut kepada RM93.90 berbanding RM98 setahun sebelumnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Astro rugi RM28.8 juta pada suku kedua akibat kemerosotan langganan dan iklan

 

Bagi separuh pertama FY27, hasil Astro merosot 6.7% tahun ke tahun kepada RM1.293 bilion, dengan hasil langganan turun 8.1% kepada RM1.06 bilion dan Adex berkurang 6.9% kepada RM121 juta.

 

TA Research berkata, pihaknya kekal berhati-hati terhadap prospek Astro berikutan kelemahan jumlah pelanggan, manakala keadaan ekonomi makro dan sentimen pengguna yang sederhana boleh menjejaskan pertumbuhan.

 

Astro teruskan agenda transformasi

Firma itu berkata, pihak pengurusan Astro menjangkakan ARPU akan stabil, namun TA Research mahu melihat tanda pemulihan yang lebih jelas sebelum mengambil pendekatan lebih positif terhadap prospek syarikat.

 

Pada masa sama, Astro kekal komited terhadap agenda transformasinya dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan kandungan tempatan serta pengembangan perniagaan berkaitan seperti sooka, Astro Fibre dan pengiklanan bersasar.

 

Astro turut memberi tumpuan kepada penyusunan semula struktur kos legasi bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang, menurut TA Research.

 

Dengan keputusan menghentikan liputan itu, TA Research mengekalkan saranan terakhir “Jual” dan sasaran harga RM0.06 sesaham berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF), dengan kadar kos modal purata wajaran (WACC) 10.4% dan kadar pertumbuhan jangka panjang 0.5%. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved