
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
ECO-SHOP MARKETING BERHAD, pengusaha terkemuka di dalam industri ‘dollar store’ (kedai harga tetap) di Malaysia telah melancarkan penawaran awam awal (IPO) nya hari ini (29 April) menjelang penyenaraian Eco-Shop di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad yang dijadualkan pada 23 Mei 2025.
Bookrunner bersama bagi IPO ini berjaya meraih sepuluh (10) pelabur sebagai pelabur cornerstone (cornerstone investors), yang secara kolektifnya melanggani 90.91 juta saham atau 90.31% daripada penawaran institusi (tidak termasuk peruntukan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Pelabur-pelabur cornerstone tersebut adalah:
- AHAM Asset Management Berhad
- Albizia Capital Pte Ltd
- Areca Capital Sdn Bhd
- Eastspring Investments Berhad
- Kairous Equity Sdn Bhd
- Kenanga Investors Berhad
- Kenanga Islamic Investors Berhad
- Lion Global Investors Limited
- RHB Asset Management Sdn Bhd
- RHB Islamic International Asset Management Berhad
IPO dijangka raih perolehan RM419.87 juta
Berdasarkan harga runcit IPO RM1.21 sesaham dan saham terbitan yang diperbesarkan yang berjumlah 5.747 bilion saham, permodalan pasaran Eco-Shop atas penyenaraian adalah sekitar RM7 bilion. IPO ini juga dijangka meraih perolehan berjumlah RM419.87 juta melalui terbitan awam 347 juta saham baharu, menjadikannya IPO terbesar yang dilancar semenjak lapan bulan yang lalu di Malaysia.
Eco-Shop telah memperuntukkan sebanyak RM56.27 juta (13.4%) untuk pembukaan kedai baharu di seluruh Malaysia, RM200.00 juta (47.6%) untuk mengembangkan pusat pengedarannya, RM10.90 juta (2.6%) untuk pelaburan dalam perkakasan dan perisian teknologi maklumat, RM100.00 juta (23.8%) untuk pembayaran balik pinjaman bank manakala baki RM52.70 juta (12.6%) akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan berkaitan IPO dan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Eco-Shop mempunyai 22 tahun sejarah sejak penubuhannya pada tahun 2003 dan anggaran bahagian pasarannya adalah 67.8% dalam industri dollar store di Malaysia berdasarkan hasil pendapatan setakat 31 Disember 2024. Eco-Shop juga merupakan peneraju pasaran dari segi bilangan kedai dan liputan geografi, di mana Syarikat ini memiliki dan mengendalikan 358 buah kedai (termasuk 22 kedai Eco-Plus) di seluruh negara setakat 31 Mac 2025.
Eco-Shop menawarkan pelbagai pilihan produk pada nilai yang menarik, termasuk produk jenama sendiri dan produk pihak pembekal. Pilihan produknya ditawarkan dengan harga yang kompetitif berharga RM2.60 di Semenanjung Malaysia dan RM2.80 di Sabah, Sarawak and Langkawi, dan menarik untuk semua golongan masyarakat. Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mei 2024 dan tempoh kewangan enam (6) bulan yang berakhir pada 30 November 2024, Eco-Shop mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM177.28 juta dan RM93.19 juta.
Berdasarkan laporan penyelidik pasaran bebas, segmen kedai dollar store di Malaysia masih pada tahap penembusan yang agak rendah berbanding pasaran yang lebih matang seperti Jepun, Kanada, dan Amerika Syarikat. Dari segi nilai hasil, segmen ini dijangka untuk berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 14.2% dalam tempoh lima tahun yang akan datang dari 2024 hingga 2029, sekali gus menyediakan landasan kukuh untuk pengembangan dan pertumbuhan bisnes.
Menerusi IPO ini, Eco-Shop akan memanfaatkan peluang pasaran yang dinamik dan mengalakkan. Penyelidik pasaran bebas juga menyatakan bahawa segmen dollar store di Malaysia mempunyai potensi untuk meningkat dua kali ganda menjelang 2029, dipacu oleh pertumbuhan populasi dan situasi penembusan pasaran semasa yang masih rendah berbanding negara-negara maju.
Berucap di majlis pelancaran prospektus hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Puan Jessica Ng berkata: “Dalam situasi hari ini dimana kos sara hidup yang semakin meningkat terus menjejaskan kebanyakan isi rumah, model perniagaan kami kini lebih relevan berbanding sebelum ini. Sama ada barangan peribadi atau keperluan rumah, perkakas dapur, alat tulis atau snek, pelanggan kami sedar bahawa mereka boleh melangkah masuk ke mana-mana cawangan Eco-Shop atau Eco-Plus dan akan membawa pulang nilai yang amat berbaloi. Komitmen teguh kami untuk “Memudahkan Kehidupan” (Make life Easier) telah membentuk identiti dan kejayaan kami.
Kami percaya terdapat potensi yang besar di dalam segmen dollar store. Dengan sokongan perubahan keutamaan pengguna ke arah kemampuan dan kemudahan, Eco-Shop berada pada kedudukan yang kukuh untuk berkembang dari segi skala dan kepentingan. Misi kami bukan sekadar perniagaan semata-mata; tetapi ianya juga untuk memberikan impak bermakna kepada kehidupan pelanggan dan komuniti yang kami berkhidmat. Semakin kami melangkah ke hadapan, komitmen kami terhadap ketelusan, kelestarian, dan penglibatan komuniti semakin teguh.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Group, Michael Oh-Lau berkata: “Maybank Investment Bank berbangga menjadi penasihat dan pengurus utama IPO Eco-Shop, yang memegang keistimewaan sebagai rangkaian dollar shop pertama yang disenaraikan di ASEAN. Komitmen Eco-Shop terhadap kemampuan menyokong ekonomi inklusif yang memenuhi keperluan semua segmen masyarakat, selari dengan usaha Maybank untuk menjadi sebuah organisasi yang memberi impak positif.”
“Sektor pengguna dijangka kekal berdaya tahan disebabkan oleh langkah-langkah Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna serta ekonomi Malaysia yang stabil disokong oleh permintaan domestik dan kitaran pelaburan yang meningkat. Eco- Shop berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi pilihan utama bagi pembelian keperluan harian pada harga yang berpatutan,” tambah Encik Michael.
Pembukaan IPO bermula pada hari ini melibatkan jumlah keseluruhan tawaran sebanyak 862.146 juta saham, di mana 675.368 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur-pelabur institusi dan terpilih (termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI) pada harga institusi yang akan ditentukan melalui kaedah binaan bida, manakala 186.778 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur awam pada harga runcit RM1.21 sesaham.
Maybank Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penyelaras global bersama, bookrunner bersama dan penaja jamin tunggal untuk tawaran awam permulaan ini. UBS Securities Malaysia Sdn Bhd and UBS AG Singapore Branch bertindak sebagai penyelaras global bersama dan bookrunner bersama manakala RHB Investment Bank Berhad juga bertindak sebagai bookrunner bersama.
JADUAL IPO:
Peristiwa Tarikh Pengeluaran Prospektus/Pembukaan Penawaran Runcit 29 April 2025 Penutupan Penawaran Runcit 7 Mei 2025 Pengundian permohonan 9 Mei 2025 Tarikh penyenaraian 23 Mei 2025



![“Overthinking Jadi Realiti” – 2 Tong Gas Jatuh Dari Lori Buat Ramai Bimbang [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)
