TA Securities nilai harga wajar Solar District Cooling pada 43 sen sesaham
herman
05/09/2024 - 10:50
KUALA LUMPUR 5 Sept - TA Securities memberikan nilai wajar penyedia sistem pengurusan bangunan (BMS), Solar District Cooling (SDC) Group Bhd pada 43 sen sesaham.
Penilaian itu menunjukkan potensi kenaikan 13.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 38 sen sesaham SDC Group yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 September 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, SDC Group dinilai dengan pendapatan sesaham tahun kewangan 2025 (FY2025) sebanyak 17.6 kali.
SDC Group dan anak syarikatnya mengkhusukan dalam sistem pengurusan bangunan, penyelesaian solar termal dan perkhidmatan penjimatan tenaga.
Kumpulan ini dikenali kerana meningkatkan kecekapan tenaga dan berhasrat untuk menetapkan penanda aras dalam pengurusan tenaga dan kecekapan kos.
"Dalam ruang BMS, kumpulan ini menumpukan pada integrasi sistem kemudahan bangunan untuk menyediakan automasi, perkhidmatan penjimatan tenaga serta penyelarasan pengurusan kemudahan bangunan.
"Dalam segmen sistem solar termal & perkhidmatan penjimatan tenaga, kumpulan ini fokus pada sistem air panas solar termal, terutamanya untuk pengguna air panas yang banyak seperti hospital dan hotel," kata TA Securities dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, kelebihan kompetitif utama SDC Group ialah rekod prestasi yang kukuh dalam industri BMS dengan kumpulan ini mempunyai sejarah kejayaan yang terbukti dalam sektor sistem pengurusan bangunan.
"Kepakaran teknikal dan pensijilan yang kuat dengan emiliki kepakaran teknikal yang mendalam serta pelbagai pensijilan yang mengesahkan kemahiran dan kualiti perkhidmatan mereka.
"SDC Group juga memiliki jenama sendiri yang membantu dalam meningkatkan kesedaran dan membina kesetiaan pelanggan," ujarnya.
SDC Group menyasarkan untuk mengumpul RM45.09 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO berharga 38 sen sesaham, membabitkan terbitan awam sebanyak 118.67 juta saham baharu.
Pengarah Urusan SDC Group, Edison Kong berkata, penyenaraian kumpulan ini akan meningkatkan keberadaan dan reputasinya dalam pasaran.
"Melalui IPO ini, ia membolehkan pengarah, pekerja, rakan kongsi perniagaan dan pelabur awam untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan dan pengembangan perniagaan kami yang berterusan, meningkatkan nilai pemegang saham," ujarnya. - DagangNews.com



