Infinix memperkenalkan tablet baharu XPAD 30E di Malaysia. Ia dipasarkan sebagai tablet memfokuskan kepada pelajar dengan menyediakan sokongan menyeluruh untuk kelas dalam talian serta kegunaan harian.

Tablet ini hadir dengan skrin LCD FHD+ berukuran 11 inci, resolusi 1200 x 1920 piksel serta nisbah ke badan 83.7%. Ia dipadankan dengan cip MediaTek Helio G80 bersama memori sehingga 8GB RAM dan storan berasaskan eMMC 5.1 sebesar 256GB. Selain itu, ia turut dilengkapi kamera belakang 5MP dan kamera hadapan 8MP. Bateri berkapasiti 7,000 mAh menyokong pengecasan 18W.

Tablet ini juga jelas memberi fokus kepada pendidikan kerana ia hadir dengan fungsi ‘AI Tutor’ yang menawarkan ciri seperti Photo Solving, Tap to Ask, AI Creation dan AI Screen Recognition. Selain itu, ia turut menyediakan lebih daripada 120,000 sumber premium termasuk kursus serta latihan yang disusun selaras dengan buku teks. Dalam masa sama, tablet ini dilengkapi dengan sambungan 4G terbina yang menjadikannya lebih praktikal tanpa bergantung sepenuhnya kepada Wi‑Fi.

Bagi yang berminat, Infinix XPAD 30E ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM699 untuk model 4GB RAM + 128GB manakala versi lebih besar dengan 8GB RAM + 256GB dijual pada harga RM999. Tablet ini boleh didapati melalui laman web rasmi serta pengedar sah Infinix Malaysia sekarang.





