
Honor Malaysia sebentar tadi turut mengumumkan tiga jam tangan pintar baharu iaitu Honor Choice Watch 2 Epic, Honor Choice InfoWear Watch 2 Pro dan Honor Watch X5i. Ketiga-tiganya hadir dengan kelebihan tersendiri dalam kelas masing-masing.

Honor Choice Watch 2 Epic menggunakan paparan AMOLED 1.32″ dengan resolusi 466×466 piksel. Ia turut menyokong penjejakan tekanan udara, altitud serta lokasi melalui altimeter terbina sekali gus memberikan data lebih tepat untuk aktiviti mendaki, memanjat dan pengembaraan luar. Sistem GNSS yang disediakan membolehkan laluan direkodkan serta mudah dijejaki semula.

Jam tangan ini juga menyokong lebih 120 mod sukan serta 6 aktiviti dikenal pasti automatik merangkumi larian, renang, senaman gim dan sukan luar. Arahan suara pula memberikan maklum balas senaman masa nyata untuk meningkatkan motivasi. Selain itu, panggilan boleh dibuat dan diterima terus melalui jam tangan menggunakan sambungan Bluetooth. Hayat baterinya mampu bertahan sehingga 15 hari untuk penggunaan biasa.

Honor Choice InfoWear Watch 2 Pro dilengkapi dengan paparan AMOLED 1.97″ beresolusi 390×450 piksel. Beratnya hanya sekitar 29g (tidak termasuk tali) dengan sokongan penarafan kalis air 5ATM + IP68. Ia menggunakan kaedah pengecasan magnetik serta hadir dengan bateri 360mAh. Hayat baterinya mampu bertahan sehingga 14 hari untuk penggunaan standard, 12 hari bagi penggunaan berat dan 5 hari dalam mod AOD.

Honor Watch X5i pula tampil dengan rekaan hampir menyerupai Apple Watch. Ia hadir dengan paparan AMOLED beresolusi 450×390 piksel pada kadar segar semula 60Hz, serta menyokong paparan sentiasa aktif (always-on display). Honor turut menawarkan lebih 180 muka jam di samping sensor kadar denyutan jantung, SpO2 serta tahap stres secara masa nyata. Fungsi penjejakan tidur dan kitaran haid turut disertakan bersama 109 mod sukan.
Pembesar suara serta mikrofon terbina turut membolehkan panggilan dibuat melalui telefon pintar yang disambungkan. Watch X5i mempunyai ketahanan air 1ATM yang tidak sesuai untuk berenang, namun pensijilan IP68 memastikan perlindungan ketika hujan atau mandi. Jam tangan pintar ini serasi digunakan bersama peranti Android dan iPhone, serta mampu bertahan dengan hayat bateri sehingga enam hari.

Bagi yang berminat, Honor Choice Watch 2 Epic dijual pada harga RM499, manakala Honor Choice InfoWear Watch 2 Pro ditawarkan pada RM399 dan Honor Watch X5i pula bernilai RM329.




