
Simpanan dalam Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sekadar angka dalam akaun, sebaliknya membawa impian jutaan umat Islam yang mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek berkata, atas dasar itu, tindakan pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH dibahaskan hari ini amat mengecewakan.
Menurut Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, terdapat pendeposit yang menyimpan wang di TH bukan kerana mempunyai lebihan pendapatan, sebaliknya sanggup mengetepikan sebahagian pendapatan demi impian menunaikan ibadah haji.
“Ada orang menyimpan di Tabung Haji bukan kerana mereka punya banyak wang. Mereka menyimpan kerana punya satu impian untuk menunaikan ibadah haji, Rukun Islam kelima.
“Sebab itu Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan. Di dalamnya ada keringat dan pengorbanan jutaan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, persoalan mengenai pengurusan TH serta pihak yang sepatutnya bertanggungjawab sudah dibangkitkan sejak bertahun-tahun lalu.
Justeru, beliau berkata, pembentangan laporan RCI di Dewan Rakyat sepatutnya menjadi ruang kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk mendapatkan penjelasan serta membangkitkan perkara yang dianggap tidak wajar.
“Bertahun-tahun persoalan tentang Tabung Haji dibangkitkan. Apa sebenarnya berlaku? Siapa yang harus bertanggungjawab?
“Hari ini, laporan RCI Tabung Haji dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan secara terbuka. Kalau ada yang salah, bongkarkan. Kalau kerajaan perlu menjawab, tuntut jawapan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Fadhlina kesal apabila pembangkang memilih untuk meninggalkan Dewan ketika peluang mendapatkan penjelasan berhubung laporan berkenaan diberikan.
“Tetapi ketika tiba masanya untuk duduk dan mencari kebenaran, pembangkang memilih untuk berjalan keluar. Sedih,” katanya.
Beliau menegaskan, perbahasan mengenai RCI TH seharusnya melangkaui perseteruan politik kerana perkara yang dipertaruhkan membabitkan amanah serta simpanan jutaan umat Islam.
Katanya, perbezaan pendirian antara kerajaan dan pembangkang tidak seharusnya menjadi alasan untuk meninggalkan ruang perbahasan apabila isu berkaitan TH dibawa ke Parlimen.
“Kerana yang sedang kita bahaskan bukan soal kerajaan atau pembangkang. Kita sedang membahaskan amanah jutaan orang Islam yang menyimpan sedikit demi sedikit untuk sampai ke Tanah Suci.
“Kita boleh berbeza politik. Tetapi jangan sesekali berjalan keluar daripada amanah rakyat,” tegasnya.






