Tabung Haji catat rekod! Umum dividen 3.5%, tertinggi dalam tempoh lapan tahun

LocalBusiness & Finance
18 Mar 2026 • 1:28 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, agihan itu melibatkan RM3.22 bilion dan memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.

“Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi tahun 2024, mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik. TH terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi simpanan Islam utama di Malaysia,” katanya pada Majlis Pengumuman Agihan Keuntungan TH bagi 2025 hari ini.

image is not available

Beliau menambah, agihan keuntungan ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta bagi pihak pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).

TH mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, meningkat daripada RM4.56 bilion pada 2024.

Aset pelaburan juga naik daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset seimbang.

image is not available

“Pengurusan kos yang berdisiplin serta pengurusan portfolio berhemat di bawah kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA) adalah antara penyumbang utama kepada prestasi TH tahun ini.
“Senario ekonomi tempatan yang kian bertambah baik turut memberi impak positif,” ujarnya.

Pendapatan tetap menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, diikuti ekuiti 34 peratus.

Pelaburan hartanah dan pasaran wang juga mencatat prestasi memuaskan, dengan 86 peratus daripada pendapatan pelaburan dijana melalui pelaburan domestik, mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara yang sihat.

Sumber: FB Tabung Haji, Buletin TV3