Tabung Haji wajar belajar daripada model dana Norway

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tabung Haji wajar belajar daripada model dana Norway

SAYA ingin menyambung perbahasan pada 11 Ogos berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH). Antara perkara yang belum disentuh ialah keperluan menilai semula falsafah penubuhan TH yang dilihat semakin tersasar daripada tujuan asal selepas puluhan tahun beroperasi.

Apa yang berlaku dalam TH menunjukkan satu perkara penting, iaitu institusi ini tidak seharusnya menjadi operator perniagaan. Kita tidak perlu mengulangi butiran pelaburan yang gagal. Sebaliknya, persoalan asas perlu dikembalikan: apakah tujuan utama TH?

TH diwujudkan sebagai tempat simpanan bakal jemaah haji. Dana tersebut kemudiannya dilaburkan bagi menjana pulangan dan membolehkan pendeposit menerima agihan keuntungan. Simpanan itu berkembang secara berperingkat sehingga mereka mampu menanggung kos menunaikan haji.

TH tidak pernah dimandatkan untuk menjadi konglomerat yang memiliki serta mengendalikan pelbagai perniagaan melalui anak syarikat. Apabila menjadi operator, institusi ini turut menanggung secara langsung risiko dan tanggungjawab terhadap keputusan komersial.

Cukuplah TH berperanan sebagai pengurus dana dan pelabur institusi yang berusaha memaksimumkan pulangan kepada pendeposit. Satu doktrin pelaburan baharu juga perlu dipertimbangkan, termasuk mengehadkan pegangan dalam sesebuah syarikat, misalnya tidak melebihi 10 peratus, bagi mengelakkan TH terjebak dalam pengurusan operasi perniagaan serta risiko kerugian yang lebih besar.

Saya juga mencadangkan TH mengambil pengajaran daripada model Dana Pencen Kerajaan Global (GPFG) Norway yang diuruskan secara profesional oleh Norges Bank Investment Management berdasarkan mandat yang ditetapkan kerajaan.

Keputusan pelaburan dan pelaksanaan hak pemilikan dibuat secara bebas daripada campur tangan politik. Lebih penting, sebahagian besar dana tersebut dilaburkan di luar Norway bagi mengelakkan kemasukan modal berlebihan ke dalam ekonomi domestik yang boleh menyebabkan tekanan inflasi dan ekonomi menjadi terlalu panas.

TH juga tidak mempunyai mandat berganda seperti Khazanah Nasional Berhad atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain. Khazanah, misalnya, mempunyai peranan menghasilkan pulangan kewangan sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi jangka panjang negara.

TH tidak perlu memainkan peranan sebagai pemacu ekonomi domestik. Jika sesuatu pelaburan dibuat atas alasan merangsang sektor tertentu tetapi pulangannya tidak setimpal dengan risiko, pendeposit akhirnya menanggung akibat.

Ini kerana dana TH bukan wang kerajaan. Ia merupakan wang umat Islam yang disimpan sedikit demi sedikit untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Pada masa sama, saya berpandangan TH wajar diberi ruang melabur di luar negara dengan lebih agresif, khususnya dalam syarikat besar Arab Saudi seperti Saudi Aramco, SABIC, stc dan Al Rajhi Bank. Syarikat berkenaan mempunyai kedudukan kukuh, kemampuan menjana keuntungan serta rekod pembayaran dividen yang menarik.

Pasaran ekuiti Arab Saudi turut menunjukkan potensi jangka panjang, disokong perkembangan sektor perbankan, petrokimia dan telekomunikasi serta pelaksanaan Vision 2030 yang mempelbagaikan ekonomi negara itu.

Pelaburan langsung asing (FDI) ke Arab Saudi juga meningkat kepada 119 bilion riyal pada 2024, naik 24 peratus berbanding tahun sebelumnya. Walaupun rantau itu berdepan ketidaktentuan, strategi pembangunan jangka panjang Arab Saudi tetap membuka peluang pelaburan yang wajar dinilai TH.

Justeru, keutamaan TH mesti kekal pada perlindungan modal, pulangan mampan, kecairan, kepelbagaian risiko dan kepentingan jangka panjang pendeposit. Dana ini bukan instrumen untuk merangsang sektor tertentu dalam ekonomi domestik.

TH perlu kembali kepada asas penubuhannya, iaitu mengurus simpanan umat Islam secara amanah, profesional dan berintegriti.-UTUSAN

 

DATUK MOHD. SUHAIMI ABDULLAH 

Ahli Parlimen Langkawi

The post Tabung Haji wajar belajar daripada model dana Norway appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved