
KOTA KINABALU: Komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah memperkasakan agenda pendidikan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) disifatkan sebagai pelaburan penting bagi memacu agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata langkah itu membuktikan pembangunan modal insan sentiasa menjadi keutamaan kepimpinan negeri.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, serta seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri atas usaha memperkukuh ekosistem pendidikan anak-anak tempatan.
Menurutnya, TPNS berjaya menyalurkan dana terkumpul melebihi RM40.16 juta bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026 sekali gus memberi manfaat kepada 27,781 penerima di seluruh negeri.
“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 sahaja, seramai 11,383 penerima mendapat manfaat dana berkenaan yang membabitkan implikasi kewangan kira-kira RM15.89 juta,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Jumaat.
Azizah berkata perangkaan berkenaan membuktikan sektor pendidikan di bawah pentadbiran semasa terus diberi perhatian dan diperkasakan.
“Falsafah pembangunan holistik sesebuah negeri tidak seharusnya bersandarkan kepada kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan kemajuan struktur pemikiran rakyatnya.
“Pembangunan Sabah bukan setakat membina jalan dan jambatan. Kita juga perlu membangunkan anak-anak Sabah melalui pendidikan bagi melahirkan modal insan berpendidikan dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pemerkasaan TPNS secara konsisten membuka lebih banyak peluang kepada anak muda Sabah untuk membina masa depan berasaskan kecemerlangan akademik dan sahsiah.
Katanya, usaha itu turut disokong pelbagai inisiatif seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Bantuan Tunai Pendaftaran IPTA (Budi), Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa-Guru (BAIK), Bantuan Kotak Sentuhan Kasih (Bakti), subsidi tambang penerbangan mahasiswa GRS-SUBFLY dan program Sentosa.
“Kita yakin dan percaya semua usaha ini adalah pelaburan masa depan negeri kita untuk manfaat anak-anak kita yang kelak bakal menerajui pembangunan serta kepimpinan Sabah,” katanya






