
TAWAU: Tabung Solidariti Najib Razak, yang dilancarkan susulan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri itu, mendapat sambutan sangat baik daripada seluruh warga Umno Sabah, yang mengatakan mereka tidak melupakan rekod beliau dalam pembangunan negeri ini selama hampir 10 tahun berada di tampuk pemerintahan negara.
Tabung tersebut dilancarkan bagi mengumpul sumbangan awam sebagai usaha membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan baki denda yang dikenakan terhadapnya.
Ini susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Jumaat yang memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Sehingga jam 9.30 pagi pada Sabtu, tabung berkenaan dilaporkan meraih kutipan RM1 juta seperti disahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki dalam hantaran Facebook rasmi beliau.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah merangkap Ketua Umno Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, semangat solidariti tersebut bukan sahaja datang daripada kepimpinan, malah turut dirasai oleh akar umbi.
“Bagi Sabah, hubungan dan penghargaan terhadap Datuk Seri Najib (Razak) juga tidak boleh dipisahkan daripada rekod beliau sebagai Perdana Menteri dalam memberi perhatian kepada pembangunan Sabah.
“Kita ingat bahawa pada era pentadbiran beliau, Projek Lebuhraya Pan Borneo telah dilancarkan dan menjadi antara projek infrastruktur strategik yang dirancang untuk menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan lebih baik, malah sehingga hari ini, projek tersebut terus menjadi antara infrastruktur utama Sabah,” katanya.
Beliau berkata, rakyat juga tidak boleh melupakan perhatian pemimpin itu terhadap pembangunan luar bandar, jaringan jalan raya, keselamatan Pantai Timur Sabah serta pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri yang menjadi sebahagian daripada agenda kerajaan ketika itu.
“Jadi apabila kita bercakap mengenai jasa Najib kepada Sabah, kita bercakap tentang satu tempoh pentadbiran dan dasar pembangunan yang meninggalkan beberapa legasi yang masih dirasai dan diteruskan sehingga hari ini.
“Sebab itu, bagi kami di Sabah, sumbangan kepada tabung ini adalah sumbangan secara sukarela sebagai tanda solidariti dan penghargaan, khususnya daripada mereka yang merasakan pernah menerima manfaat daripada dasar dan pembangunan yang dilaksanakan pada zaman beliau,” katanya lagi.
Samasuddin, bagaimanapun, menegaskan bahawa sumbangan tersebut bukan paksaan dan bukan pertandingan jumlah sama ada RM10, RM50, RM100 atau lebih kerana semuanya bergantung kepada kemampuan, keikhlasan dan semangat kebersamaan mereka.
Dari segi jumlah kutipan, beliau berkata, ketika ini, Umno Sabah masih dalam proses penyelerasan dengan Bahagian-Bahagian, namun mengakui menerima sambutan sangat baik apabila akar Umno mula bergerak dan ramai yang tampil menyumbang mengikut kemampuan masing-masing melalui saluran rasmi.
“Bagi saya, yang penting bukan sekadar jumlah RM yang terkumpul, tetapi semangat solidariti dan keikhlasan ahli Umno Sabah dalam menyokong Datuk Seri Najib.
Bila jumlah rasmi Sabah dimuktamadkan, kita akan maklumkan,” katanya.






