
Kota Kinabalu: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, memberi manfaat kepada 27,781 pelajar di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata antara Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 11,383 individu di seluruh Sabah menerima bantuan TPNS berjumlah RM15.89 juta.
Beliau berkata penubuhan TPNS berteraskan tema “Peluang Tajaan Untuk Semua” terbukti menjadi instrumen penting dalam memperluas akses awam kepada bantuan pendidikan.
“Acara ini penting kerana kita bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi membuka ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah untuk meneruskan pengajian, mencapai cita-cita dan membina masa depan,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan pelancaran Sistem Aplikasi Pintar Sistem TPNS di Menara Kinabalu, di sini, Jumaat.
Hajiji berkata sesebuah negeri tidak mampu maju tanpa sistem pendidikan yang kukuh dan berkualiti kerana pembangunan bukan sekadar membina jalan raya, jambatan, bangunan dan infrastruktur.
Beliau berkata komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan turut diterjemahkan menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan RM155 juta tahun ini, yang memberikan manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem).
Katanya, peruntukan itu melonjak lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2020 manakala sepanjang 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan diperkenalkan antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (Budi), Bantuan Ihsan Komputer (Baik) dan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Mengenai bantuan yang disampaikan Jumaat, Hajiji berkata 362 penerima dari daerah Kota Kinabalu menerima bantuan berjumlah RM6.79 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata transformasi digital penyampaian perkhidmatan pendidikan negeri bermula dengan pelancaran Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) pada 2 Julai 2024.
Katanya, PTPS berfungsi sebagai platform sehenti yang menghimpunkan lima agensi utama tajaan dan bantuan pendidikan negeri dalam satu platform bersepadu.
“Bagi memperkukuh lagi momentum pemodenan ini, hari ini kita melangkah setapak lagi dengan pelancaran Sistem Aplikasi Pintar TPNS,” katanya.
Beliau berkata aplikasi mudah alih itu membolehkan permohonan bantuan TPNS dibuat sepenuhnya dalam talian, selain pemohon boleh menyemak status permohonan secara masa nyata melalui proses yang lebih telus dan mesra pengguna.
Hajiji turut menggesa lebih banyak syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi serta menjana keuntungan di Sabah tampil menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbang kepada TPNS.






