Tabungan bumiputera dalam LTAT, TH, ASB kini cecah RM292.1 bilion

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 4:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tabungan bumiputera dalam LTAT, TH, ASB kini cecah RM292.1 bilion

PUTRAJAYA: Laporan Kemajuan GEAR-up 2026 hari ini mendedahkan jumlah tabungan tunai dan kekayaan isi rumah bumiputera di tiga instrumen kewangan utama kini mencecah RM292.1 bilion.

Tiga instrumen kewangan itu termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, laporan sama turut mendedahkan lebih 70 peratuspemegang unit utama dalam instrumen kewangan itu adalah isi rumah M40 dan B40.

Beliau berkata, pengurusan kewangan isi rumah bumiputera dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu menjadi benteng utama mendepani kos sara hidup.

“Melalui dividen konsisten yang melebihi kadar inflasi, institusi ini melindungi serta meningkatkan kuasa beli isi rumah biasa dan menjamin keselamatan kewangan jangka panjang golongan yang paling memerlukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, usaha memperkukuh kekayaan bumiputera perlu bermula dengan peningkatan peluang ekonomi, pekerjaan dan keusahawanan.

Amir Hamzah berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, penyediaan peluang pekerjaan berkualiti serta akses kepada pembiayaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat.

“Apabila pendapatan meningkat, mereka mempunyai lebihan untuk menyimpan dan melabur. Pada masa sama, instrumen seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) membantu mereka mengembangkan kekayaan dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman berkata, PNB kini menguruskan lebih RM234 bilion dana milik pelabur bumiputera dengan jumlah pemegang unit mencecah 13.2 juta orang.

Katanya, ia sekali gus menjadikannya antara instrumen utama dalam usaha memperkukuh kekayaan isi rumah Bumiputera.

“Jumlah dana tersebut terus meningkat setiap tahun sejajar pertambahan bilangan pemegang unit dan simpanan yang dibuat oleh pelabur.

“Ketika ini hampir satu daripada tiga rakyat Malaysia merupakan pemegang unit di bawah pengurusan PNB.

“Lebih RM234 bilion daripada dana yang kita uruskan adalah milik pemegang unit bumiputera dan angka ini berkembang setiap tahun kerana jumlah pelabur terus meningkat,” katanya.

Katanya, PNB kini mempunyai 13.2 juta pemegang unit yang merangkumi hampir satu daripada tiga rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, antara fokus utama KWSP adalah meningkatkan kecukupan simpanan persaraan dalam kalangan ahlinya melalui program celik kewangan dan pelbagai kemudahan caruman sukarela.

Menurut beliau, kadar ahli yang mencapai tahap simpanan asas mencukupi kini berada pada sekitar 41 peratus dan dijangka terus meningkat selepas terjejas akibat pengeluaran khas semasa pandemik Covid-19.

“Kita sedang berusaha membina semula simpanan ahli melalui pelbagai inisiatif seperti i-Saraan, i-Simpan dan i-Top Up.

“Melalui i-Saraan, pencarum sektor tidak formal boleh menikmati insentif padanan kerajaan sehingga RM350 setahun, manakala i-Top Up membolehkan ahli menambah caruman secara mudah menerusi aplikasi i-Akaun,” katanya.

Beliau berkata, KWSP juga memperkenalkan kemudahan iEMAS bagi membantu pesara menguruskan pengeluaran simpanan secara lebih teratur selepas mencapai umur persaraan. – UTUSAN

The post Tabungan bumiputera dalam LTAT, TH, ASB kini cecah RM292.1 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved