Tahanan rumah Najib: AGC bantah permohonan Badan Peguam

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 12:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tahanan rumah Najib: AGC bantah permohonan Badan Peguam

SHAH ALAM, 24 NOV: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan semakan kehakiman Badan Peguam Malaysia yang mencabar perintah tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Jabatan itu memaklumkan bantahan dibangkitkan ketika pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 12 November lalu atas alasan keputusan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar.

Perintah tahanan rumah itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.

“Hujahan pihak-pihak akan didengar pada 17 Mac 2027.

“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 18 September lalu, Najib diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Pada 10 November lalu, Najib mula menjalani tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah baharu yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International sehingga 23 Ogos 2028.

Pada hari sama, Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar kesahihan keputusan berhubung tahanan rumah berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved