Tahanan rumah: Najib dikenakan syarat ketat, dikembalikan ke penjara jika langgar – Saifuddin

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 2:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Tahanan rumah: Najib dikenakan syarat ketat, dikembalikan ke penjara jika langgar – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tertakluk kepada pelbagai syarat dan sekatan ketat, sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, termasuk larangan keluar dari premis yang diwartakan serta terlibat dalam sebarang aktiviti politik atau liputan media.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sekatan itu, merangkumi empat perkara yang dikepilkan bersama-sama Perintah Pengampunan Bersyarat Lembaga Pengampunan, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 Sept, selain syarat kawalan tambahan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau berkata empat syarat utama Lembaga Pengampunan ialah sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi, serta kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.

“Di dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu, berkenaan dengan tempat tinggal, disebut dengan jelas. Tempat tinggal itu ialah nombor 11 di Jalan Langgak Duta. Disebut terang. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan kuasa Menteri Dalam Negeri, Seksyen 3 Akta Penjara, cuma mewartakan premis itu.

“Kemudian, di situ juga disebut bahawa tak dibenarkan untuk berpindah ke rumah lain, bangunan lain atau premis lain. Tak dibenarkan keluar daripada alamat itu melainkan dengan izin bertulis,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu syarat-syarat khusus yang dikenakan terhadap Najib, dalam menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah serta agensi yang bertanggungjawab memantau pematuhan syarat tersebut.

Saifuddin Nasution berkata Najib hanya dibenarkan tinggal bersama ahli keluarga terdekat iaitu isteri, anak-anak, menantu dan cucu, manakala sebarang penerimaan tetamu luar memerlukan kebenaran bertulis terlebih dahulu.

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya dibenarkan menggunakan peranti telekomunikasi yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara bagi tujuan pengesahan keberadaan, serta dilarang membuat sebarang kenyataan atau ulasan media, mendedahkan diri dalam mana-mana platform media sosial atau menghadiri majlis keramaian.

Beliau turut memaklumkan KDN tidak dapat memenuhi permohonan bertulis Najib untuk memasukkan satu lagi kediaman sebagai syarat tambahan, kerana terikat sepenuhnya dengan ketetapan satu premis oleh Lembaga Pengampunan.

Menjawab soalan tambahan Suhaizan mengenai persepsi hukuman “dua darjat”, Saifuddin Nasution menegaskan bahawa hak memohon pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira status, manakala KDN dan Jabatan Penjara hanya bertindak sebagai agensi pelaksana mengikut tertib dan lunas undang-undang.

Menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung implikasi sekiranya syarat berkenaan dilanggar, beliau berkata tahanan rumah tersebut akan dibatalkan serta-merta.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar), Saifuddin Nasution berkata beliau bersedia membawa syor ke mesyuarat Jemaah Menteri esok bagi mempertimbangkan cadangan menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan kes tersebut, untuk memberikan perspektif yang lebih tepat kepada masyarakat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved