Tahanan Rumah Untuk Najib: KDN Belum Terima Arahan Rasmi - Saifuddin

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 7:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tahanan Rumah Untuk Najib: KDN Belum Terima Arahan Rasmi - Saifuddin

KULIM - Jabatan Penjara Malaysia masih belum menerima arahan rasmi berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan menunggu pemakluman rasmi daripada Lembaga Pengampunan sebelum menentukan langkah pelaksanaan keputusan berkenaan.

“Di KDN yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Penjara, kita akan menunggu surat rasmi memaklumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang dibuat semalam.

“Setakat ini, kita masih belum menerima apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga empat kanak-kanak yang lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, di sini hari ini.

Saifuddin berkata, KDN perlu meneliti terlebih dahulu terma dan syarat keputusan berkenaan, termasuk sama ada lokasi tahanan rumah Najib telah ditetapkan atau perkara itu akan ditentukan oleh Jabatan Penjara.

“Saya perlu melihat surat itu terlebih dahulu. Buat masa ini, Datuk Seri Najib masih menjalani hukuman penjara.

“Tahanan rumah bermakna beliau tidak lagi berada di penjara, sebaliknya ditempatkan di premis lain dan terdapat proses tertentu yang perlu dilalui,” katanya.

Sebelum ini, hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadap Najib dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Saifuddin berkata, Najib dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028 sekiranya denda RM50 juta itu berjaya dibayar.

Jika denda berkenaan gagal dibayar, tarikh pembebasan beliau ialah pada 23 Ogos 2029.

Mengulas mengenai pelaksanaan tahanan rumah secara lebih umum, Saifuddin berkata Malaysia ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus yang mengawal mekanisme berkenaan.

Beliau berkata, Jemaah Menteri pada dasarnya telah bersetuju supaya kerajaan menggubal Rang Undang-Undang Tahanan Rumah untuk dibentangkan di Parlimen.

Cadangan itu pada asalnya bertujuan membantu mengurangkan kesesakan di penjara, khususnya membabitkan tahanan reman.

“Ketika ini, kita mempunyai 41 penjara yang menempatkan kira-kira 93,000 banduan, sedangkan kapasiti keseluruhannya hanya sekitar 75,000 orang.

“Atas sebab itu, saya mendapatkan persetujuan prinsip daripada Jemaah Menteri untuk memulakan proses membawa Akta Tahanan Rumah ke Parlimen bagi menangani isu kesesakan penjara,” katanya.

Saifuddin berkata, undang-undang yang dicadangkan itu akan membolehkan sebahagian tahanan reman ditempatkan di bawah tahanan rumah serta dipantau secara elektronik sementara menunggu perbicaraan. - Getaran, 19 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved