SUNGAI BULOH – Seorang Orang Kena Tuduh (OKT) warga Pakistan dilaporkan meloloskan diri ketika proses penghantaran ke Penjara Sungai Buloh selepas selesai prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam pada Khamis.
Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 8 malam di pekarangan Penjara Sungai Buloh.
"Jabatan Penjara Malaysia bekerjasama dengan polis dalam usaha mengesan dan menahan semula OKT tersebut.
"Operasi pencarian sedang giat dijalankan dan semua agensi keselamatan telah dimaklumkan bagi membantu usaha ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jabatan Penjara Malaysia komited untuk terus memastikan keselamatan tahanan dan orang awam sentiasa terpelihara serta akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran prosedur.
Pada Jumaat media melaporkan, polis memburu seorang tahanan reman berdepan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilapor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, sebelum operasi mengesan lelaki warga Pakistan itu dilancarkan.
Usaha mengesan lelaki dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, itu dipergiatkan termasuk kawasan berhampiran selain memperluas tindakan lain bagi menjejaki suspek.
Beliau berkata, lelaki itu menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan berkaitan imigresen.
