
PETALING JAYA – Perdana Menteri menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada skuad Harimau Malaya atas kejayaan menewaskan Vietnam pada penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA sebentar tadi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu sekali gus membolehkan Malaysia meraih tempat ketiga serta menamatkan saingan Piala ASEAN FIFA itu tanpa bolos.
“Terima kasih kepada seluruh pemain dan barisan kejurulatihan atas kesungguhan dan semangat juang demi lencana di dada.
“Terus melangkah, terus berjuang dan harumkan nama negara!” tulisnya di laman Facebook.
Pada hantaran sama, Perdana Menteri turut meninggalkan nota kaki bahawa tiada cuti diberikan atas kemenangan itu.
“Tiada cuti umum ya, termasuk buat warga luar yang bekerja di Malaysia. Esok kerja seperti biasa,” kata Anwar.
Terdahulu, pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno terbabit,
Malaysia berjaya mengalahkan Vietnam dengan jaringan 1-0 sekali gus menamatkan badi 12 tahun ke atas pasukan itu. -KOSMO! ONLINE
The post Tahniah Harimau Malaya, tiada cuti esok kerja seperti biasa – Anwar appeared first on Kosmo Online.





