Kempen tanpa kalah, bolos suntik keyakinan Harimau Malaya

5 Oct 2026 • 10:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Kempen tanpa kalah, bolos suntik keyakinan Harimau Malaya

Ketua jurulatih sementara Tan Cheng Hoe menyifatkan kempen tanpa kalah dan tanpa bolos Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA 2026 sebagai landasan kukuh.

JAKARTA: Kempen tanpa kalah dan tanpa bolos Malaysia pada Piala ASEAN FIFA 2026 menjadi landasan kukuh buat Harimau Malaya untuk mengharungi cabaran lebih besar selepas ini, kata ketua jurulatih sementara Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe berkata kejayaan skuad negara meledak 10 gol tanpa dibolosi dalam empat perlawanan bukan sahaja mencerminkan kualiti pasukan, malah memperlihatkan kekuatan mental, komitmen serta keserasian yang terbina dalam kalangan pemain.

Pengendali berusia 58 tahun itu berkata barisan pemain mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan biarpun terpaksa mengharungi empat perlawanan mencabar dalam tempoh singkat.

“Sudah tentu ini satu pencapaian hebat buat pasukan. Kami menjaringkan 10 gol dan tidak bolos, yang merupakan antara statistik terbaik. Namun, bola sepak bukan semata-mata mengenai statistik. Kami bekerja keras bersama-sama dan mentaliti pemain memainkan peranan amat penting.

“Setiap pemain memberikan yang terbaik. Inilah cara kami mahu meningkatkan pasukan — kami kekal bersama, berjuang bersama dan menikmati setiap detik bersama. Sudah tentu kami perlu terus maju kerana cabaran lebih besar menanti selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno di sini hari ini.

Malaysia membuka saingan Kumpulan A Divisyen 1 dengan menewaskan Bangladesh 3-0 sebelum seri tanpa jaringan dengan tuan rumah Indonesia dan membelasah Singapura 6-0.

Harimau Malaya kemudian menutup kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga hari ini.

Cheng Hoe turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas sokongan dan panduan yang diberikan kepada skuad kebangsaan, selain berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kata-kata semangat sebelum perlawanan.

Sementara itu, penyerang Fergus Tierney menyifatkan kejayaan meraih tempat ketiga sebagai ganjaran atas usaha keras seluruh pemain dan barisan kejurulatihan sepanjang dua minggu kejohanan.

Pemain berusia 23 tahun yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Vietnam itu berkata persembahan Malaysia sepanjang kejohanan membuktikan skuad negara mempunyai kemampuan untuk mara ke final.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia menamatkan kejohanan dengan keputusan positif selepas terlepas tipis peluang ke final berdasarkan jumlah jaringan meskipun terikat dengan tuan rumah Indonesia dari segi mata dan perbezaan gol dalam Kumpulan A Divisyen 1.

Kejayaan berkenaan turut menamatkan penantian lebih sedekad Malaysia untuk kembali menewaskan Vietnam selepas kemenangan terakhir ke atas seteru serantau itu dicatat pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2014.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved