Taiwan mulakan latihan ketenteraan terbesar ketika tekanan China meningkat

WorldPolitics
5 Aug 2026 • 5:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Taiwan mulakan latihan ketenteraan terbesar ketika tekanan China meningkat

TAIPEI: Latihan ketenteraan terbesar Taiwan tahun ini bermula pada Rabu ketika pulau yang mengamalkan sistem demokrasi itu meningkatkan persiapan rakyatnya bagi menghadapi kemungkinan pencerobohan oleh China.

Latihan tahunan ‘Han Kuang’ yang berlangsung dari 5 hingga 14 Ogos itu mensimulasikan pelbagai senario pertempuran bagi membolehkan anggota tentera dan pasukan simpanan berlatih menghadapi serangan ke atas pulau itu, menurut pegawai pertahanan.

Orang awam turut terlibat dalam latihan yang merangkumi pengurangan sementara kelajuan internet mudah alih serta latihan amaran serangan udara.

China mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan mengancam untuk menggunakan kekerasan bagi merampas pulau yang mempunyai kira-kira 23 juta penduduk itu.

Beijing meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Taiwan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan menghantar pesawat pejuang dan kapal perang mengelilingi pulau itu hampir setiap hari, selain mengadakan latihan ketenteraan berskala besar.

Pengawal Pantai China turut meningkatkan aktiviti di kawasan kelabu, iaitu tindakan yang tidak sampai mencetuskan peperangan, di sekitar Taiwan dan pulau-pulau kecil di bawah pentadbirannya.

Pada Rabu, puluhan anggota pasukan simpanan berkumpul di sebuah pantai yang menghadap Selat Taiwan dan melepaskan tembakan menggunakan raifal buatan Taiwan ke arah sasaran di kawasan pantai yang berpotensi menjadi lokasi pendaratan tentera China sekiranya berlaku pencerobohan.

“Ketika autoritarianisme Parti Komunis China (CCP) terus berkembang, keganasan merah juga merebak ke seluruh pelosok dunia.

“Kami akan terus meningkatkan keupayaan pertahanan negara serta membina pertahanan menyeluruh dan daya tahan masyarakat,” kata Presiden, Lai Ching-te pada forum keselamatan sehari sebelum latihan itu bermula.

Taiwan meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta memperoleh senjata yang lebih kecil dan mudah digerakkan, termasuk dron, bagi membolehkan tenteranya melaksanakan strategi peperangan tidak simetri terhadap China.

Di bawah tekanan hebat Amerika Syarikat (AS) supaya meningkatkan perbelanjaan keselamatan, kerajaan Ching-te berikrar menaikkan peruntukan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Namun, kerajaan beliau berdepan pertikaian dengan parti pembangkang yang menguasai Parlimen berhubung jumlah perbelanjaan untuk memperkukuh keupayaan pertahanan pulau itu.

Pada Mei lalu, parti Kuomintang (KMT) dan Parti Rakyat Taiwan meluluskan bajet khas pertahanan bernilai AS$25 bilion (RM102.29 bilion), tetapi mengurangkan kira-kira satu pertiga daripada jumlah yang dimohon Parti Progresif Demokratik (DPP) pimpinan Ching-te.

Pembangkang turut menggugurkan kira-kira AS$15 bilion (RM61.37 bilion) yang ingin digunakan kerajaan bagi memperoleh dron keluaran tempatan serta beberapa inisiatif lain untuk memperkukuh pertahanan.

Antara fokus utama latihan Han Kuang tahun ini ialah memusatkan kuasa membuat keputusan di peringkat medan operasi dengan memberi lebih autonomi kepada komander dan pegawai untuk bertindak tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan.

Latihan ketahanan bandar turut diadakan serentak sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mempersiapkan seluruh pulau menghadapi kemungkinan perang atau bencana alam.

Kelajuan internet mudah alih akan diperlahankan selama 30 minit ketika latihan amaran serangan udara di kawasan tengah dan utara Taiwan, sebagai usaha membiasakan orang ramai dengan kemungkinan gangguan komunikasi.-AFP

The post Taiwan mulakan latihan ketenteraan terbesar ketika tekanan China meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved