Taiwan Tidak Akan Memindahkan Separuh Kapasiti Pengeluaran Cip Semikonduktor Ke Amerika Syarikat

WorldTechnology
10 Feb 2026 • 3:55 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda mengikuti perkembangan industri pengeluaran cip semikonduktor, anda tahu bahawa Taiwan merupakan negara pengeluar terbesar cip berteknologi tinggi tersebut, dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) merupakan paling penting di dunia untuk banyak syarikat-syarikat teknologi global.

Baru-baru ini terdapat laporan bahawa kerajaan Amerika Syarikat, melalui kenyataan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick mahukan Amerika Syarikat meningkatkan kadar pengeluaran cip semikonduktor untuk menguasai 40 peratus pengeluaran global dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan salah satu daripada caranya ialah untuk Taiwan memindahkan separuh daripada kapasiti pengeluaran mereka ke Amerika Syarikat.

image is not available

Timbalan Premier Taiwan, Cheng Li-chiun telah mengatakan bahawa permintaan tersebut adalah mustahil untuk dilakukan kerana pengeluaran cip semikonduktor di negara tersebut akan sentiasa berkembang, dan kedua, TSMC sudahpun membuka kilang pengeluaran (fab) di Arizona yang telah mula beroperasi pada 2025 dengan proses 4nm, dan proses-proses tambahan (3nm dan 2nm) sedang dalam proses pembangunan.

TSMC di Taiwan akan memulakan pengeluaran cip pemprosesan menggunakan proses 2nm mereka pada tahun ini, dengan pelanggan-pelanggan utama termasuklah Apple, AMD, Qualcomm dan NVIDIA. Kerajaan Taiwan juga telah menetapkan bahawa kilang-kilang Amerika Syarikat akan boleh menghasilkan cip semikonduktor menggunakan proses yang diperkenalkan 1-2 tahun sebelum proses terbaru, dan oleh kerana itu, ia dilihat bahawa kilang TSMC di Arizona hanya akan memulakan proses pengeluaran cip 3nm seawal pertengahan atau penghujung tahun ini.