PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Perdana Menteri membidas kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi senjata politik kerajaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan tersebut tidak adil kerana kenyataan berkenaan dibuat sebelum laporan rasmi berkaitan diperoleh.
Menurutnya, semua pihak sepatutnya menunggu laporan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.
“Itu pandangan Bersih, tetapi tidak adil untuk Bersih membuat kenyataan yang tidak bersih. Nak buat tuduhan, tengoklah laporan dulu, baru bagi jawapan (kenyataan).
"Ini belum terima laporan tetapi kita sudah menuduh mengikut selera politik. Itulah yang dikatakan selera politik," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Bersih yang mengecam hala tuju SPRM yang didakwa semakin terpesong daripada mandat asal untuk membanteras rasuah sekali gus menyifatkan suruhanjaya itu menjadi senjata politik kerajaan.
Kenyataan itu merujuk kepada tindakan SPRM yang sedang mengesan bekas pegawai kepada seorang bekas menteri, dikenali sebagai James Chai.
Anwar menegaskan, kritikan terhadap mana-mana pihak termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki boleh dibuat, namun perlu dilakukan secara konsisten.
“Saya tidak pertahankan. Semua hendak bersih, apa dia? Tetapi yang puluh-puluh bilion dicuri selama ini mengapa tiada suara?
“Boleh kritik sesiapa pun termasuk saudara Azam Baki, tetapi biar konsisten. Yang dicuri dalam negara ini sudah mencecah puluh bilion yang telah terdedah,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan siasatan pemilikan saham Azam oleh Jawatankuasa Khas, Anwar memaklumkan ia dijangka diperoleh pada Jumaat.
"Itu yang saya tunggu, katanya hari ini tetapi saya belum terima lagi," jelasnya.
