Tak dapat matrikulasi bukan noktah

LocalOpinion
7 May 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tak dapat matrikulasi bukan noktah
Program Matrikulasi bukan satu-satunya laluan kejayaan lepasan SPM kerana pelajar masih mempunyai pelbagai pilihan pendidikan tinggi seperti STPM, diploma dan TVET. - Gambar hiasan

SETIAP tahun, selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, ribuan pelajar menaruh harapan tinggi untuk melangkah ke Program Matrikulasi.

Namun realitinya, tidak semua yang cemerlang di atas kertas mendapat tempat.

Bagi sebahagian pelajar, keputusan itu disambut dengan senyuman dan rasa syukur, manakala sesetengah individu lain, kesedihan dan kekecewaan tidak dapat disembunyikan. Di sinilah bermulanya rasa kecewa, sedih dan persoalan ‘silapnya di mana?’

Hakikat yang perlu difahami, Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan sekadar menilai keputusan peperiksaan semata-mata.

Ada yang berkongsi keterujaan diterima ke kolej matrikulasi idaman, tetapi tidak kurang yang kecewa apabila gagal mendapat tempat atau ditawarkan penempatan jauh dari negeri asal.

Situasi ini mencerminkan dilema sebenar pelajar lepasan SPM, di antara harapan, realiti dan hala tuju masa hadapan yang samar.

Tawaran kemasukan bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kelayakan akademik, merit serta kekosongan tempat yang terhad.

Ini bermakna, walaupun seseorang pelajar memperoleh keputusan cemerlang, ia belum menjamin tempat jika persaingan terlalu tinggi dan kapasiti kolej tidak mencukupi.

Malah, program ini sendiri mempunyai jumlah tempat yang terhad walaupun permintaan sangat tinggi setiap tahun.

Dalam masa sama, dasar sedia ada seperti sistem kuota turut mempengaruhi agihan tempat sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat.

Tahun ini, KPM mengumumkan bahawa pelajar yang memperoleh 10A ke atas dalam SPM 2025 akan menerima tawaran automatik ke program matrikulasi sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik.

Bagaimanapun, bagi sebahagian pelajar lain, mereka masih perlu bersaing dalam kelompok ribuan permohonan untuk mendapatkan tempat.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, inisiatif ini bukan untuk mengecilkan peluang murid lain, sebaliknya bagi mengiktiraf mereka yang cemerlang dan dalam masa sama, mengekalkan keadilan sistem pemilihan.

Menariknya, tawaran automatik itu diberikan kepada semua calon yang memohon matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Kenyataan ini menegaskan bahawa kegagalan memasuki matrikulasi bukanlah kegagalan mutlak, sebaliknya satu isyarat bahawa setiap pelajar mempunyai jalan berbeza menuju kejayaan.

Bagaimanapun, penting untuk dilihat dari sudut lebih luas bahawa Program Matrikulasi hanyalah salah satu laluan prauniversiti.

Manakan tidak, masih banyak lagi peluang untuk pelajar lepasan SPM menyambung pelajaran terutama program asasi di universiti awam, diploma, Tingkatan Enam (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) mahupun Pendidikan Latihan dan Vokasional (TVET).

Bahkan, kerajaan turut menegaskan komitmen memastikan pelajar cemerlang tetap diberi peluang menyambung pengajian melalui saluran lain.

Ini membuktikan satu perkara penting iaitu kegagalan mendapat matrikulasi bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada laluan yang berbeza.

Matrikulasi sering dianggap ‘jalan paling cepat’ ke universiti, namun laluan lain juga terbukti mampu membawa kejayaan sama, malah ada yang lebih sesuai dengan minat dan potensi individu.

Dalam dunia sebenar, kejayaan tidak ditentukan oleh satu laluan sahaja, tetapi sejauh mana seseorang mampu menyesuaikan diri dan terus melangkah.

*Qurratul'aina Quddus ialah wartawan Sinar Bestari