
Tak Macam Dulu, Pembimbing Haji Kongsi Perubahan 'Sikap' Jemaah Undang Sebak
Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima dan menjadi kemuncak buat seorang hamba yang diwajibkan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan.
Setiap tahun, jutaan umat Islam dari pelosok dunia berhimpun di tanah suci sebagai tetamu Allah SWT.
Disamping menuju jalan yang diredai Allah, pembimbing haji juga berperanan penting dalam menjadi pemudahcara buat jemaah dalam mencapai haji yang mabrur.
Bagi Ummu Athirah Yusuf dalam satu coretan di Facebook berkongsi pengalamannya selama lebih 20 tahun sebagai pembimbing haji.

Dalam perkongsiannya mendedahkan perubahan sikap jemaah yang mungkin ramai tidak sedar akannya.
"Namun ada satu perubahan yang cukup ketara.." - Pembimbing Haji
Sedar tidak sedar, sudah lebih dua puluh tahun saya diberi amanah sebagai pembimbing haji. Entah ini musim terakhir atau masih ada kesempatan pada tahun-tahun mendatang, hanya Allah yang mengetahuinya.

Sepanjang tempoh itu, saya menyaksikan pelbagai perubahan dalam pengurusan, kemudahan dan cara pelaksanaan ibadah haji. Saya juga melihat bagaimana hukum-hakam haji sentiasa hidup, sentiasa relevan, dan sentiasa memberikan jawapan kepada realiti semasa tanpa menghilangkan ruh asalnya.
Namun ada satu perubahan yang cukup ketara dalam kalangan jemaah.
Dahulu, soalan yang sering ditanya ialah:
"Ustaz, yang mana lebih afdhal?"
"Kalau buat begini, dapat pahala lebih atau tidak?"
"Adakah cara ini lebih menepati sunnah?"

Kadang-kadang sukar bagi kami untuk sekadar menjawab "sah", kerana mereka ingin tahu bukan sahaja tentang kesahan ibadah, tetapi juga tentang kesempurnaannya. Mereka bertanya tentang afdhal, tentang adab, tentang dosa dan pahala.
Hari ini, soalan yang lebih banyak kedengaran ialah:
"Boleh atau tidak?"
"Sah atau tidak?"
"Kalau buat macam ni, kena dam atau tidak?"
Seolah dam itu penghapus dosa..
Persoalan tentang yang lebih afdhal semakin kurang ditanya. Jika ada pilihan yang lebih ringan, itulah yang sering menjadi pilihan. Jika ada rukhsah, itulah yang dicari terlebih dahulu.
Sedangkan haji bukan sekadar mencari yang paling mudah. Haji adalah perjalanan menuju Allah. Ia adalah madrasah tarbiah yang mengajar kita tunduk, sabar dan berkorban.
Janganlah kita berurusan dengan Allah hanya berdasarkan kiraan untung dan rugi. Jangan mengukur ibadah dengan kemampuan kewangan yang Allah pinjamkan kepada kita.
Jika terpaksa membayar dam kerana kecuaian, jangan pula merasakan semuanya selesai hanya dengan wang. Dam boleh menggugurkan tuntutan hukum tertentu, tetapi ia tidak semestinya menghilangkan kesan kelalaian dalam hubungan seorang hamba dengan Tuhannya.
Jangan buat haji kerana ikut-ikutan.
Jangan buat haji sekadar mahu mengatakan bahawa kita pernah sampai ke Mekah.
Jangan buat haji asal siap.
Jangan buat haji seolah-olah sedang berlumba siapa yang lebih dahulu menyempurnakan manasik.
Dan jangan buat haji dalam keadaan kelam-kabut sehingga hilang rasa kehambaan.
Ketika bergerak dari Arafah menuju Muzdalifah dalam lautan manusia yang begitu besar, Rasulullah ﷺ mengingatkan:
أَيُّهَا النَّاسُ، عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ
"Wahai manusia, hendaklah kamu sentiasa bersikap tenang."
(Riwayat Muhammad al-Bukhari dan Muslim ibn al-Hajjaj)
Pesanan itu bukan hanya untuk perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah. Ia adalah prinsip sepanjang perjalanan menuju Allah.

Laksanakanlah ibadah dalam keadaan tenang.
Tawaf dengan tenang.
Saie dengan tenang.
Melontar dengan tenang.
Berzikir dengan tenang.
Berdoa dengan tenang.
Kerana ibadah yang tenang lebih dekat kepada khusyuk.
Manakala ibadah yang tergesa-gesa sering menghilangkan penghayatan dan adab di hadapan Allah SWT.
Akhirnya, yang akan ditanya bukan sekadar sama ada haji itu sah atau tidak. Tetapi apakah haji itu telah mengubah hati kita atau tidak.

Kerana haji yang mabrur bukan hanya menyempurnakan rukun-rukunnya, tetapi melahirkan seorang hamba yang lebih takut kepada Allah, lebih cintakan sunnah, lebih menjaga dosa dan lebih merasai bahawa setiap langkah dalam manasik adalah perjalanan pulang menuju-Nya.
Ya Allah, jadikanlah kami daripada kalangan tetamu-Mu yang bukan sahaja sah hajinya, tetapi hidup hatinya. Bukan sahaja sempurna manasiknya, tetapi juga indah adabnya. Dan bukan sahaja pulang membawa gelaran haji, tetapi pulang membawa taqwa. Aamiin.



