Tak Perlu Guna Aplikasi Rapid On Demand, Van Rapid KL Tawar Tambang RM1

21 Oct 2026 • 2:56 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Tak Perlu Guna Aplikasi Rapid On Demand, Van Rapid KL Tawar Tambang RM1

Rapid KL akan melaksanakan projek rintis perkhidmatan van dengan tambang RM1 bagi setiap perjalanan bermula 24 Oktober ini, tanpa memerlukan pengguna membuat tempahan menerusi aplikasi Rapid On Demand (ROD).

Projek rintis selama tiga bulan itu menggunakan model perkhidmatan berasaskan laluan dan jadual tetap bagi memperkukuh ketersambungan pengangkutan awam, khususnya untuk memudahkan pengguna mendapatkan akses ke stesen rel berhampiran.

Menerusi satu kenyataan, Rapid KL memaklumkan fasa pertama projek berkenaan melibatkan dua laluan ROD, iaitu T400B dari Bandar Tun Razak ke Taman Midah dan T512B dari Presint 11 ke Stesen Putrajaya Sentral.

Perkhidmatan ROD bagi kedua dua laluan itu akan ditutup sementara sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis berkenaan.

“Melalui model operasi ini, pengguna boleh terus menaiki van di stesen dan hentian yang telah ditetapkan tanpa perlu membuat tempahan melalui aplikasi Rapid On Demand,” menurut kenyataan itu.

Bayaran Menggunakan Kad Debit Dan Kredit

Rapid KL memaklumkan pembayaran tambang boleh dibuat menggunakan kad debit, kad kredit dan kad Touch 'n Go menerusi sistem pembayaran terbuka.

Pemegang Kad Konsesi MyRapid turut menikmati diskaun tambang sebanyak 50 peratus, manakala pemegang pas Rapid Mesra boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Rapid KL untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Menurutnya, projek rintis itu akan membolehkan pihak berkenaan menilai keberkesanan model operasi berasaskan laluan dan jadual tetap dalam memperkukuh ketersambungan bagi perjalanan awal dan akhir pengguna, sekali gus memudahkan akses komuniti ke stesen rel berhampiran.

Beliau berkata, Rapid KL juga akan memantau jumlah penggunaan, prestasi operasi dan maklum balas pengguna bagi menilai penerimaan serta keberkesanan inisiatif berkenaan.

“Hasil penemuan sepanjang tempoh pelaksanaannya akan digunakan sebagai rujukan dalam mempertimbangkan penambahbaikan perkhidmatan pada masa hadapan,” katanya.

Baca juga:

Inisiatif itu turut menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam melalui sistem mobiliti yang lebih bersepadu, mudah diakses dan mampan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved