Sistem pembayaran terbuka Rapid KL siap dalam tempoh 30 bulan

LocalTechnology
21 Oct 2026 • 2:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sistem pembayaran terbuka Rapid KL siap dalam tempoh 30 bulan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan penuh sistem pembayaran terbuka bagi perkhidmatan rel Rapid KL disasarkan selesai dalam tempoh 30 bulan selepas projek itu dimulakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebanyak 30 peratus peralatan akses penumpang dan kutipan tambang di setiap stesen dijangka menyokong sistem itu dalam tempoh 12 bulan pertama.

“Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka bagi perkhidmatan bas Rapid Bus di Lembah Klang pula dijangka selesai dalam tempoh 15 bulan secara berfasa.

“Penilaian teknikal dan komersial serta kelulusan berkaitan sedang dimuktamadkan sebelum kontrak dianugerahkan,” katanya pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zahir Hassan ( PH- Wangsa Maju) mengenai jadual pelaksanaan penuh sistem pembayaran terbuka bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Anthony berkata, proses perolehan memerlukan tempoh panjang bagi memastikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta prinsip tadbir urus terbaik.

Katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong pelaksanaan sistem itu bagi menyediakan kaedah transaksi lebih fleksibel, mudah dan efisien, selain memperkukuh pendigitalan pengangkutan awam.

Sementara itu, beliau berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melaksanakan sistem pembayaran terbuka bagi perkhidmatan di Lembah Klang sejak 1 November 2024.

Pengguna KTMB boleh membuat pembayaran menggunakan kad debit dan kredit, Touch ‘n Go eWallet, kod QR serta dompet digital seperti Apple Pay, Google Pay dan Samsung Pay.

Bagi Prasarana, sistem berkenaan dirancang meliputi perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid Rail serta Rapid Bus di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Antara kaedah pembayaran yang bakal disokong termasuk kad MyDebit, kad debit dan kredit antarabangsa berasaskan EMV, pembayaran tanpa sentuh menerusi peranti NFC, dompet digital, kod QR serta kad Touch ‘n Go.- KOSMO! ONLINE

The post Sistem pembayaran terbuka Rapid KL siap dalam tempoh 30 bulan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved