Tak perlu panik risiko gempa Malaysia amat rendah

LocalEnvironment
18 Aug 2026 • 12:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tak perlu panik risiko gempa Malaysia amat rendah

GEORGE TOWN – Risiko Malaysia terjejas akibat gempa bumi kuat atau tsunami selepas kejadian di Indonesia Sabtu lalu adalah rendah, namun orang ramai dinasihatkan supaya kekal berwaspada dan tidak panik.

Pensyarah merangkap Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia, Prof. Ir. Dr. Fadzli Mohamed Nazri berkata, gempa bumi di Sumatera dapat dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia kerana magnitudnya yang besar, walaupun pusat gempa berada ratusan kilometer dari negara ini.

Namun begitu katanya, kesan di Malaysia setakat ini terhad kepada gegaran ringan hingga sederhana tanpa laporan kerosakan besar terhadap bangunan atau infrastruktur.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun Malaysia boleh merasai kesan gempa bumi yang berlaku di negara jiran, tahap risikonya jauh lebih rendah berbanding kawasan yang berhampiran dengan pusat gempa.

“Walau bagaimanapun, kejadian ini perlu dijadikan peri­ngatan bahawa bangunan lama, infrastruktur kritikal dan kemudahan awam perlu sentiasa diselenggara serta dinilai tahap ketahanannya bagi menghadapi risiko gegaran pada masa hadapan,” katanya.

Image from: Tak perlu panik risiko gempa Malaysia amat rendah
FADZLI

Mengulas kemungkinan gempa susulan, beliau berkata, fenomena tersebut lazim berlaku selepas gempa bumi besar dan boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari, minggu atau bulan bergantung kepada keadaan geologi kawasan berkenaan.

Jelasnya, kebanyakan gempa susulan menunjukkan trend penurunan dari segi kekerapan dan magnitud dari semasa ke semasa serta tidak mencapai kekuatan gempa utama.

“Orang ramai tidak perlu pa­nik, tetapi perlu terus mengikuti maklumat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan agensi pemantauan gempa bumi,” katanya.

Ujarnya, kejadian beberapa gempa bumi sederhana hingga kuat dalam tempoh singkat di Indonesia bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan negara itu terletak dalam Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara seismik.

Dalam pada itu, Fadzli berkata lagi, tahap pendedahan Malaysia terhadap kesan gempa bumi Indonesia berbeza mengikut lokasi, dengan Sabah merupakan negeri paling terdedah kerana mempunyai sumber gempa tempatan selain dipengaruhi aktiviti seismik serantau.

Katanya, bagi Semenanjung Malaysia khususnya kawasan Pantai Barat seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan, gegaran daripada gempa bumi besar di Sumatera lebih kerap dirasai berikutan kedudukannya yang lebih hampir dengan zon subduksi di Indonesia.

Mengenai risiko tsunami pula, katanya, tiada amaran tsunami yang melibatkan Malaysia dikeluarkan susulan gempa bumi bermagnitud 6.9 di Sumatera dan lazimnya ia dikaitkan dengan gempa bumi cetek yang berlaku di dasar laut dan menyebabkan anjakan dasar laut yang signifikan.

Justeru, walaupun risiko langsung kepada Malaysia masih rendah, kejadian tersebut wajar dijadikan peringatan supaya ke­siapsiagaan bencana dan ke­sedaran masyarakat dipertingkatkan.

“Penilaian keselamatan ba­ngunan lama, sekolah, hospital dan jambatan serta pemantauan aktiviti seismik serantau juga perlu terus diperkasakan,” tambahnya.

The post Tak perlu panik risiko gempa Malaysia amat rendah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved