Tak Perlu Susah Payah Berjemur, Ini Petua Untuk Hilangkan Kutu Beras Dengan Mudah

25 Jul 2025 • 5:07 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia yang dimasak menggunakan beras. Oleh sebab itu, tidak hairanlah mengapa terdapat pelbagai pilihan beras di pasaran.

Namun pernah tak korang perasan, ada ketikanya serangga berwarna hitam yang menjalar pada beras tersebut?

Ia boleh dilihat dengan ketara bila kita mencuci beras sebelum memasak apabila serangga kecil itu muncul pada permukaan air.

Walaupun bekas beras sudah ditutup dengan rapi, namun kehadiran serangga yang dikenali sebagai kutu beras ini tetap ada hingga kadangkala runsing dibuatnya.

Kutu Beras Tidak Berbahaya Kepada Manusia Tapi Boleh Beri Kesan Kepada Kualiti Beras

Kutu beras atau nama saintifiknya Sitophilus Oryzae merupakan haiwan perosak bersaiz 2 hingga 3 milimeter (mm) yang sering ditemui dalam beras.

Memetik laman Hello Doktor, kutu beras atau juga dikenali sebagai bubuk beras sama ada di peringkat larva atau dewasa tidak berbahaya kepada manusia.

Ini kerana ia tidak menggigit, menyengat mahupun membawa penyakit. Namun, ia boleh memberi kesan kepada kualiti beras itu sendiri.

Beras yang diserang haiwan perosak ini boleh menjadi kurang enak, lembik malah mudah basi.

image is not available

Tips Hilangkan Kutu Beras

Jom kami kongsikan petua untuk menghilangkan kutu beras dengan mudah hanya menggunakan barang yang ada di dapur.

#1 Panaskan Guna Ketuhar Atau Kuali

Mengikut petua orang lama, cara paling mudah untuk menghilangkan kutu beras adalah dengan menjemur bahan tersebut di bawah matahari.

Ini kerana haiwan kecil ini memang tidak tahan untuk berada di bawah suhu yang panas.

Mungkin cara sebegini susah untuk dilakukan oleh segelintir individu namun jika rumah korang ada ketuhar (oven), korang boleh je menggunakannya untuk panaskan beras.

Panaskan oven terlebih dahulu dan masukkan beras pada tray dan kemudiannya ke dalam oven. Korang perlu tunggu selama 10 minit untuk pastikan serangga itu betul-betul hilang.

Kemudian ayakkan beras tersebut dan asingkan serangga berkenaan. Kalau tiada ketuhar, korang boleh sahaja menggoreng beras tanpa minyak dalam kuali.

Tapi goreng dengan sekejap sahaja ya!

image is not available

#2 Guna Cili Kering

Bahan dapur seperti cili kering pun boleh membantu untuk menghalau kutu beras.

Ini kerana cili kering mempunyai rasa panas dan pedas yang boleh membuatkan haiwan ini rasa ‘tidak selesa’ untuk tinggal lebih lama dalam bekas.

Caranya adalah masukkan cili kering yang dipotong dua ke dalam bekas simpanan beras dan biarkan selama beberapa hari.

image is not available

#3 Bawang Putih

Jangan tidak tahu, bawang putih pun merupakan antara bahan yang boleh digunakan untuk menghalau haiwan perosak ini.

Ini kerana kutu beras sememangnya tidak suka kepada bahan yang mempunyai bau-bauan.

Ambil satu labu bawang putih tanpa perlu dibuang kulitnya dan letakkan dalam beras. Biarkan dalam tempoh sehari dan haiwan ini akan hilang dari pandangan.

Kalau enggan membazir, korang juga boleh letak beberapa ulas bawang putih yang telah dikupas ke dalam bekas simpanan beras.

image is not available

#4 Tabur Bunga Cengkih Atau Lada Hitam Di Kawasan Luar Bekas Beras

Kebiasaannya, haiwan ini datang daripada persekitaran yang terdapat di tempat bekas diletakkan seperti kabinet atau pantri.

Untuk mengelakkan daripada ia masuk ke dalam bekas tersebut. korang boleh taburkan bahan dapur seperti lada hitam atau bunga cengkih di kawasan sekitar.

Sama seperti bahan sebelum ini, lada hitam dan bunga cengkih sememangnya mempunyai aroma yang kuat dan tidak digemari oleh serangga hitam ini.

Korang juga boleh letakkan kedua-dua bahan ini ke dalam bekas beras sedia ada.

image is not available

#5 Daun Salam

Menggunakan daun salam atau juga dikenali sebagai bay leaves sebagai alternatif untuk menghalau kutu beras juga merupakan antara cara paling berkesan.

Dengan hanya meletakkan beberapa helai daun di kawasan sekitar atau ke dalam bekas beras, bau kuat daripada bahan ini mampu menghalau serangga berkenaan.

Jika tiada daun salam, korang juga boleh menggantikannya daun limau purut, daun semambu atau daun pudina.

image is not available

Jadi lepas ini, tak perlu pening dan bersusah payah untuk membuang kutu beras ini setiap kali mahu memasak nasi.

Korang boleh sahaja menggunakan bahan yang ada di dapur untuk menghalau haiwan perosak ini.

Source: