“Tak Rasa Menganggu Ke?” Rupanya Wanita Ini Turut Sama Menari Bersama Komuniti Borneo Di KL Sentral

3 Jun 2026 • 7:59 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Tak Rasa Menganggu Ke?” Rupanya Wanita Ini Turut Sama Menari Bersama Komuniti Borneo Di KL Sentral

KUALA LUMPUR – Malaysia sememangnya terkenal sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat dan tradisi. Tidak kira dari Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak, setiap warisan yang dibawa menjadi sebahagian daripada identiti unik negara ini.

Baru-baru ini, satu hantaran di Threads oleh pengguna @myrhfzi meraih perhatian ramai apabila beliau memuat naik video sekumpulan individu berpakaian etnik sedang menari di kawasan KL Sentral.

Dalam hantaran tersebut, beliau menulis:

“Aku tak faham apa yang dorang buat menari-nari dekat KL Sentral pakai baju etnik semua? Tak rasa menganggu ke? Nak tahu tak sebab apa aku tanya?”

Ayat itu pada awalnya membuatkan ramai menyangka beliau kurang senang dengan aktiviti berkenaan. Namun, sangkaan tersebut meleset apabila pengguna itu mendedahkan bahawa beliau sebenarnya turut menyertai tarian tersebut.

Rupanya Turut Sama Menari

Menurutnya, suasana yang meriah dengan alunan lagu popular Sabah, Sayang Kinabalu, membuatkan beliau teruja untuk menari bersama.

“Sebab ni memang dunia saya. Tambah-tambah lagu Sayang Kinabalu. Best weh menari dengan dorang, nak menari lagiiii memang fun semuanya,” tulisnya.

Di ruangan komen, beberapa pengguna menjelaskan bahawa aktiviti tersebut dipercayai berkaitan sambutan musim Gawai dan Kaamatan yang sedang berlangsung, selain menjadi platform memperkenalkan budaya serta warisan masyarakat Borneo kepada orang ramai.

Warganet Kongsi Maklumat Program

Seorang pengguna turut berkongsi poster program Gawai & Kaamatan Showcase yang dijadual berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), manakala ramai netizen menyifatkan persembahan budaya seperti itu sebagai sesuatu yang menarik dan wajar diraikan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Hantaran tersebut kini telah meraih ratusan ribu tontonan serta pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang memuji cara pemilik akaun itu membuat “plot twist” sebelum mendedahkan beliau sebenarnya turut menikmati suasana berkenaan. – The Malaysian Update

The post “Tak Rasa Menganggu Ke?” Rupanya Wanita Ini Turut Sama Menari Bersama Komuniti Borneo Di KL Sentral appeared first on The Malaysian Update.