Tak sangka taut 'disambar' baung ekor merah 25kg

4 May 2026 • 4:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tak sangka taut 'disambar' baung ekor merah 25kg
Mohamad Saiful tidak menyangka berjaya menaikan ikan baung ekor merah seberat 25 kg dari Sungai Jelai. Foto Ihsan Mohamad Saiful

LIPIS - Seorang lelaki tidak menyangka taut yang dipasang di Sungai Jelai berdekatan sangkar ikan menjadi lubuk rezeki apabila berjaya menaikkan ikan baung ekor merah (BEM) seberat kira-kira 25 kilogram (kg) pada minggu lalu.

Mohamad Saiful Iqmi Isa, 27, berkata, perkara itu disedarinya selepas taut yang dipasang menggunakan umpan anak ikan patin sebelum disambar spesis asing berkenaan pada keesokan harinya.

“Memang rutin, taut dipasang dan dibiarkan semalaman sebelum diperiksa.

"Namun pada hari itu saya menunggu agak lama sebelum terdetik untuk ke situ bagi melihat hasilnya,” katanya.

"Bila dekati taut saya terkejut apabila melihat tali sudah berjuntai ke bawah dalam keadaan tegang.

"Ketika mula menarik, saya dapat rasakan beratnya lain macam dan tidak mampu mengangkatnya seorang diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, keadaan menjadi lebih sukar apabila ikan tersebut tersangkut di celah struktur sangkar ikan patin yang sempit, sekali gus menyukarkan proses menaikkannya.

Menurutnya, dia kemudian menaiki bot dan memanggil tiga rakan untuk membantu.

“Rakan-rakan sudi membantu dan kami mengambil masa kira-kira enam minit sebelum berjaya menaikkannya," ujarnya.

 

 

Mohamad Saiful yang bekerja di sebuah kedai ikan di Kampung Ganding berkata, tangkapan itu merupakan yang terbesar sepanjang penglibatannya dalam hobi memancing sejak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

 

“Sebelum ini paling besar sekitar tiga hingga tujuh kilogram sahaja.

 

 

"Tapi kali ini saya sangat teruja dan ini memang rezeki luar jangka," kongsinya

 

 

Menurut Mohamad Saiful, ikan baung ekor merah itu kemudiannya dijual pada harga sekitar RM23 hingga RM25 sekilogram, dengan hasil keseluruhan mencecah lebih RM500.

 

 

“Alhamdulillah, rezeki ini saya simpan dan sebahagiannya digunakan untuk belanja rakan-rakan yang membantu,” katanya.

 

 

Habis#