Pemandu treler warga India ditahan, dua tahun memandu tanpa lesen

15 Sep 2026 • 5:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu treler warga India ditahan, dua tahun memandu tanpa lesen
Seorang lelaki warga India yang ditahan dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Rawang arah utara, pada Selasa.

SUNGAI BULOH - "Saya sudah sembilan tahun duduk Malaysia, baru dua tahun bawa treler tapi kali ini nasib tak baik kena tahan.”

Itu reaksi seorang lelaki warga India yang ditahan dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Rawang arah utara, di sini, pada Selasa.

Individu berusia 30 tahun itu mendakwa terpaksa mengambil pekerjaan sebagai pemandu kenderaan perdagangan bagi mencari pendapatan, dengan menerima upah RM60 bagi setiap perjalanan.

Menurutnya, dia mampu melakukan antara tiga hingga empat perjalanan sehari dengan membawa bahan binaan dari Puncak Alam ke Kepong.

Lebih mengejutkan, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah termasuk Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL), selain tidak mempunyai dokumen bekerja yang sah.

Pemeriksaan mendapati lelaki itu hanya mempunyai pasport antarabangsa dan dipercayai telah menetap di negara ini secara tidak sah sejak sembilan tahun lalu.

Lelaki berkenaan turut mengakui sudah bekerja sebagai pemandu sejak dua tahun lalu dan mampu memperoleh pendapatan sehingga kira-kira RM4,000 sebulan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, suspek antara individu yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersasar berkenaan.

Menurutnya, kenderaan berat dipandu lelaki terbabit turut disita bersama sebuah lagi kenderaan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tindakan segelintir majikan atau pemilik kenderaan yang mengupah warga asing tanpa lesen sah demi mengaut keuntungan disifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab.

"Tindakan sebegini jelas membelakangkan undang-undang serta mempertaruhkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi berkenaan di RnR Rawang arah utara di sini pada Selasa.

Dalam operasi yang dilaksanakan selama dua hari bermula Isnin di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), melibatkan laluan Shah Alam hingga Tanjung Malim, sebanyak 33 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan saman oleh JPJ Selangor.

Kesalahan berkenaan membabitkan pemanduan secara berterusan di lorong paling kanan yang boleh meningkatkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved