Tak serik, lelaki ditahan lagi simpan 300 bungkus air ketum

9 Jun 2026 • 8:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tak serik, lelaki ditahan lagi simpan 300 bungkus air ketum
polis rampas 300 bungkus air ketum bernilai RM3,000 dalam serbuan di Kampung Tekek, Pulau Tioman, awal pagi Isnin. Foto polis

ROMPIN - Kegiatan seorang lelaki warga Indonesia menyimpan bekalan air ketum terbongkar apabila polis merampas 300 bungkus minuman itu bernilai RM3,000 dalam serbuan di Kampung Tekek, Pulau Tioman, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, suspek berusia 54 tahun yang merupakan pemastautin tetap ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.30 pagi.

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan sama pada tahun 2024.

“Penahanan dan rampasan ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin bersama Unit MARTEK Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Tanjung Gemok.

Sharif Shai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Beliau menambah, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah dan penyalahgunaan air ketum.

"Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah termasuk kesalahan berkaitan air ketum yang disenaraikan sebagai racun dan bahan psikotropik di sisi undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan dadah diminta menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Rompin di talian 09-4145222 bagi membantu usaha membanteras aktiviti tersebut,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved