Tak setuju keputusan PM, letak jawatan – Hassan

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 10:37 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tak setuju keputusan PM, letak jawatan – Hassan

PETALING JAYA: Anggota Kabinet yang tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri berhubung masa pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) wajar meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan itu lebih munasabah dan bermaruah sekiranya seseorang menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri yang bertegas menolak keputusan Perdana Menteri dan secara terbuka mendesak supaya PRU-16 diadakan lebih awal.

Beliau berkata, anggota Jemaah Menteri terikat dengan doktrin Tanggungjawab Bersama Menteri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya menteri berkenaan dan parti politiknya tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri yang telah membuat keputusan sebelum ini bahawa PRU-16 akan diadakan sehingga tamat tempoh Parlimen, maka Menteri yang berkenaan jika bertegas tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri itu.

“Jadi perkara yang munasabah dan bermaruah yang perlu dilakukannya ialah dengan meletakkan jawatan sebagai seorang menteri Kerajaan Persekutuan.

“Ini bersesuaian dengan kehendak Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu satu pelanggaran nyata menteri berkenaan yang juga seorang Timbalan Perdana Menteri terhadap doktrin Tanggungjawab Bersama Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hassan berkata, Perkara 43(3) menetapkan bahawa Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

Menurutnya, terdapat perbezaan antara tanggungjawab bersama Jemaah Menteri dengan tanggungjawab menteri secara individu dalam pentadbiran kerajaan.

Katanya, apabila Parlimen dibubarkan dan PRU-16 diadakan merupakan perkara yang tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa Perdana Menterilah untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 sebagaimana Perkara 40(1) dan tertakluk Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, Hassan berkata, seseorang menteri walaupun memegang jawatan presiden sebuah parti besar dalam kerajaan gabungan perlu memahami kedudukannya dalam Jemaah Menteri.

Beliau berkata, kedudukan itu tidak memberikan hak kepada seseorang menteri untuk mendesak Perdana Menteri secara terbuka supaya mengadakan PRU-16 mengikut kehendaknya.

Hassan berkata, sekiranya wujud perbezaan pendirian antara menteri dengan Perdana Menteri mengenai masa pilihan raya dan perbezaan itu tidak dapat diselesaikan dalam Kabinet, menteri terbabit perlu membuat pilihan sama ada menerima keputusan kerajaan atau berundur.

Beliau berkata, prinsip tanggungjawab bersama penting bagi memastikan kerajaan dapat berfungsi sebagai satu pasukan dan tidak menampilkan percanggahan terbuka dalam kalangan anggota Kabinet. –UTUSAN

The post Tak setuju keputusan PM, letak jawatan – Hassan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved