PRN Melaka: Semangat BN-Pas tetap sama, pentas mungkin berbeza – Ab Rauf

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 8:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Semangat BN-Pas tetap sama, pentas mungkin berbeza – Ab Rauf
Ab Rauf merasmikan pelancaran jentera pilihan raya BN DUN Pantai Kundor pada Jumaat. Foto: SINAR HARIAN.

MELAKA – Hasrat Barisan Nasional (BN) untuk berkongsi pentas dengan Pas bagi mengumumkan calon masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini, mungkin tidak kesampaian berikutan isu teknikal berkaitan kedudukan Perikatan Nasional (PN) yang masih perlu diselesaikan.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, isu tersebut membabitkan keputusan mahkamah berkaitan permohonan penangguhan pelaksanaan serta tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung perkara sama.

Menurutnya, Pas perlu menyelesaikan isu teknikal berkenaan terlebih dahulu sebelum memutuskan kaedah pengumuman calon parti itu.

“Kita tunggu esok (Sabtu) kerana mereka mempunyai pandangan teknikal tentang kedudukan PN yang telah mendapat keputusan penangguhan daripada pihak mahkamah.

“Kita kena mengerti, apa pun semangatnya tetap sama, cuma pentasnya mungkin berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penafian Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa parti itu akan mengumumkan calon PRN Melaka secara bersama atau sepentas dengan BN.

Beliau ditemui pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundur, pada Jumaat.

Khamis lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan BN dan Pas akan berkongsi pentas bagi mengumumkan calon masing-masing pada PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Sabtu ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menafikan perkara itu dan memaklumkan Pas dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada 28 atau 29 Oktober ini, iaitu pada minggu terakhir sebelum hari penamaan calon.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved