JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor membongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel menerusi operasi penguatkuasaan di Kawasan Perindustrian Sri Purnama di sini pada Khamis.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan penguat kuasa telah menyerbu lokasi berkenaan pada kira-kira jam 11 pagi dan menahan tiga lelaki tempatan.
"Pemeriksaan turut dilakukan terhadap dua kenderaan iaitu sebuah lori yang diubah suai dan sebuah lori tangki dipercayai digunakan untuk pemindahan serta penyimpanan diesel secara tidak sah.
**media[3486506]**
"Hasil pemeriksaan mendapati lori pertama dilengkapi tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berisi kira-kira 3,000 liter cecair disyaki diesel," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain itu, ujarnya, sebuah lori tangki turut mengandungi kira-kira 300 liter diesel, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan 3,300 liter.
"Siasatan awal mendapati sindiket mengubah suai lori bagi mengumpul diesel dalam kuantiti besar sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk tujuan penyelewengan.
**media[3486504]**
"Turut dirampas peralatan seperti pam, hos, mesin flow meter serta dokumen berkaitan pembelian diesel.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM73,296 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
KPDN Johor menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap aktiviti penyelewengan barang kawalan dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu penguatkuasaan.
**media[3486505]**

