
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi dengan mencampurkannya bersama pewarna sebelum dijual semula sebagai minyak masak terpakai pada harga lebih tinggi.
Suspek berusia 51 tahun itu ditahan dalam serbuan di tiga premis berasingan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, di sempadan Pulau Pinang-Kedah, malam tadi.
Pengarahnya, S Jegan berkata, pemeriksaan di dua lokasi menemukan kira-kira 3,150 kilogram minyak masak paket bersubsidi pelbagai jenama, selain peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses minyak berkenaan.
“Modus operandi dia adalah membeli minyak paket, kemudian menggunting plastik minyak itu dan mencampurkannya dengan bahan pewarna sebelum dimasukkan ke dalam tangki untuk dijadikan minyak terpakai.
“Minyak terpakai itu kemudiannya dijual pada harga RM3.50,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang Bukit Minyak, di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan antaranya menemukan sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua bungkus plastik kosong minyak masak paket yang telah dipotong, dua bilah pisau, satu set pam bersama hos serta sebuah tangki berkapasiti 1,000 liter dan bil elektrik.
“Pemeriksaan di premis ketiga yang mempunyai lesen CSA mendapati berlaku lebihan stok minyak masak kira-kira 850 kilogram. Nilai rampasan dianggarkan RM95,000, manakala suspek kini ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Tamak, minyak masak subsidi dicampur pewarna appeared first on Kosmo Digital.





