KPDN Selangor sita 16 paket minyak masak bersubsidi di Rawang

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 4:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KPDN Selangor sita 16 paket minyak masak bersubsidi di Rawang

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyita 16 paket minyak masak bersubsidi satu kilogram dalam operasi bersepadu di Jalan Maxwell, Rawang semalam.

Menurut KPDN, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis runcit terbabit dipercayai menjual barang kawalan tanpa memiliki lesen sah sekali gus disyaki melanggar peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDN memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan KPDN Cawangan Gombak dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Operasi yang dijalankan KPDN Cawangan Gombak bersama MPS, PDRM dan JIM mendapati premis tersebut disyaki menjual barang kawalan tanpa lesen atau melanggar syarat lessen," katanya.

Menurut kenyataan itu, susulan pemeriksaan berkenaan, 16 unit minyak masak paket bersubsidi satu kilogram dirampas dan disita bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, KPDN Cawangan Kajang turut menjalankan pemeriksaan bekalan, tanda harga, alat timbang dan sukat serta siasatan aduan di sekitar Kajang, Cheras, Seri Kembangan dan Ampang pada hari sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan barangan adalah mencukupi, premis mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang serta sukat yang masih dalam tempoh tentusahan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan.

“Bagaimanapun, dua kompaun di tempat kejadian dikeluarkan terhadap dua premis kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tambahnya.

Dalam pada itu, KPDN turut menasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang serta peraturan berkuat kuasa bagi memastikan setiap urusan perniagaan dijalankan secara bertanggungjawab dan mengikut ketetapan.

Peniaga juga digesa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta memastikan pematuhan terhadap aspek berkaitan harga, bekalan dan kepentingan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil dan telus.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved