
KUALA TERENGGANU – Taman Negeri Royal Belum, Gerik, Perak akan menjadi habitat baharu seekor gajah liar yang ditangkap selepas menggemparkan Kampung Pengkalan Gelugor, Jeram, Manir di sini pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, gajah betina yang digelar ‘Mek Jeram’ itu berjaya ditangkap awal pagi Ahad lalu.
“Seramai 22 Perhilitan Terengganu, Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah terlibat dalam operasi pemindahan ini.
” ‘Mek Jeram’ berjaya dinaikkan ke dalam lori pada pukul 10.30 pagi tadi sebelum dibawa ke Taman Negeri Royal Belum untuk dilepaskan ke habitat baharunya,” katanya di Jeram, Manir, di sini hari ini.
Terdahulu ratusan penduduk sekitar Jeram tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan proses pemindahan gajah tersebut sekali gus mengucapkan selamat tinggal buat ‘Mek Jeram’.
Kosmo! Ahad kelmarin melaporkan suasana sunyi di Kampung Pengkalan Gelugor, Jeram, Manir bertukar pesta apabila penduduk keluar beramai-ramai untuk melihat seekor gajah yang tersesat memasuki perkampungan mereka.
Keghairahan itu disebabkan ia pertama kali mamalia tersebut tersesat memasuki perkampung tersebut yang terletak kira-kira 30 kilometer dari hutan terdekat. – KOSMO! ONLINE
The post Taman Negeri Royal Belum ‘rumah’ baharu Mek Jeram appeared first on Kosmo Digital.




