Taman perindustrian diyakini jadi pemacu pendapatan baharu SP Setia, kata Maybank IB

LocalBusiness & Finance
16 Apr 2025 • 10:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Taman perindustrian diyakini jadi pemacu pendapatan baharu SP Setia, kata Maybank IB

image is not available

16/04/2025 - 10:43

aman Industri Jaya, Johor Bahru - Gambar/SP Setia Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - Taman perindustrian diyakini menjadi pemacu pendapatan baharu kepada SP Setia Bhd selain sumbangan stabil daripada pembangunan perbandaran baharu, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Katanya, kumpulan itu memperoleh kelulusan perancangan untuk Taman Perindustrian Setia Alaman di atas tanah seluas 161.5 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion di Klang yang membolehkan pengiktirafan RM655 juta daripada jualan tanah pada FY25.

"Kami positif terhadap projek itu kerana lokasinya yang strategik di Klang.

"Projek itu, yang terletak hanya 10 minit pemanduan dari pembangunan Setia City, bersedia untuk meningkatkan aktiviti di sana, diterjemahkan kepada margin yang lebih baik dan nilai tanah yang lebih tinggi pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu juga positif dengan pembangunan Taman Perindustrian Setia Fontaines dengan GDV RM3 bilion di atas tanah seluas 167.5 hektar di Bertam, Pulau Pinang.

Katanya, dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai rakan kongsi 50:50, kumpulan itu menjangkakan proses kelulusan akan dipercepatkan dan harus meningkatkan lagi keyakinan pelabur.

"Kelulusan pengezonan semula mungkin diperoleh menjelang Julai 2025.

"SP Setia sedang berbincang dengan dua rakan kongsi berpotensi untuk Taman Perindustrian Tanjung Kupang seluas 124.2 hektar di Iskandar Malaysia dengan GDV RM8 bilion," katanya.

Maybank IB berkata, Taman Perindustrian Tanjung Kupang mempunyai potensi kukuh sebagai hab logistik memandangkan kedudukannya yang hampir dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Forest City dan Singapura.

Sementara itu, bagi perniagaan di Australia, Atlas Melbourne (La Trobe St, RM2.4 bilion) telah meraih 50% jualan, dengan 20 unit terjual setiap bulan.

Walaupun tiada butiran mengenai garis masa pelancaran untuk projek Carlton di Melbourne, pihaknya percaya bahawa dua menara telah diperuntukkan untuk bina untuk dijual, manakala menara yang lain akan dibina untuk disewa (untuk tujuan penginapan pelajar).

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.45 sesaham," katanya. - DagangNews.com

standard