Tamat Cuti Persekolahan, Ibu Maut Kemalangan Hantar Anak Ke Sekolah

21 Sep 2025 • 7:22 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang ibu maut manakala anak lelakinya berusia lima tahun terselamat selepas motosikal yang mereka tunggang terbabit kemalangan di Kampung Tembak B, Jalan Parit Panjang-Kuala Ketil, pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9 pagi berhubung kemalangan membabitkan dua motosikal.

“Hasil siasatan mendapati kejadian membabitkan sebuah motosikal ditunggang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dari arah tempat kerja di Kuala Ketil menghala ke Kampung Tembak B, dengan motosikal ditunggang wanita tempatan berusia 30 tahun yang membawa anak lelakinya berumur lima tahun,” katanya.

image is not available

Ibu Maut Kemalangan Hantar Anak

Menurut beliau, dua beranak itu dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil, menghala ke sebuah stesen minyak di Kampung Tembak B.

image is not available

Akibat kemalangan itu, wanita terbabit cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya serta penunggang motosikal lain dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat.

image is not available

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000,” jelas Ahmad Salimi.

Sumber: BH Online (Zuliaty Zulkiffli)