
Kuala Lumpur: Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Masiung Banah berkata kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen baru-baru ini mengenai cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bercanggah dengan komitmen Perdana Menteri terhadap negeri-negeri di Borneo.
Azalina, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), memberitahu Dewan Rakyat pada 3 Mac bahawa sebarang penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu dikaji dengan teliti memandangkan implikasinya yang lebih luas terhadap negeri lain.
Beliau menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda.
Masiung, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, berkata jawapan tersebut secara langsung bercanggah dengan komitmen yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada 16 Nov tahun lalu bersetuju, pada prinsipnya, untuk menambah kerusi Parlimen yang kini dilihat lebih memihak kepada Semenanjung.
Beliau berkata keadaan semasa pembahagian kerusi juga tidak mencerminkan status satu pertiga seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipulihkan oleh Parlimen melalui pindaan Perlembagaan pada 2022.
“Kenyataan Azalina boleh mewujudkan ketegangan politik dan melukakan perasaan rakyat Sabah dan Sarawak kerana beliau menentang cadangan menambah kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri,” kata Masiung.
“Pandangan beliau bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri yang telah pun bersetuju untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.”Beliau menambah jawapan bertulis Azalina itu tidak menghormati rakyat di Borneo.
“Isu ini boleh memperdalamkan lagi luka terhadap cara kerajaan pusat melayan negeri-negeri Borneo yang sepatutnya mempunyai autonomi politik sendiri,” katanya.
