
Kota Kinabalu: Kenaikan kos tambang penerbangan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia perlu ditangani segera bagi meringankan beban rakyat khususnya pelajar dan mereka yang kerap melakukan perjalanan untuk mengunjungi keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai Datuk Dr Aliakbar Gulasan (gambar) berkata semakan terhadap tambang penerbangan bagi beberapa tempoh akan datang termasuk hari biasa dan cuti sekolah mendapati kebanyakan tambang sehala berharga sekitar RM450 dan ke atas.
“Tambang setinggi itu boleh menyebabkan kos perjalanan antara Sabah dan Kuala Lumpur mencecah sekurang-kurangnya RM800 hingga RM900 bagi perjalanan pergi balik seorang penumpang.
“Bayangkan saya percaya tambang pada tahap sebegini merupakan beban berat dan tidak mencerminkan semangat integrasi nasional,” katanya dalam hantaran di Facebook baru-baru ini.
Aliakbar berkata tambang penerbangan mahal boleh menyebabkan mereka yang mempunyai keluarga di Sabah dan Semenanjung Malaysia keberatan untuk melakukan perjalanan bagi bertemu insan tersayang selain memberi tekanan kewangan lebih besar kepada mereka yang perlu kerap melakukan perjalanan.
Beliau turut menekankan kesukaran yang dihadapi pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia dan perlu pulang ke kampung untuk bertemu ibu bapa terutama ketika cuti sekolah dan cuti universiti.
Beliau menggesa Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mengkaji mekanisme yang sesuai bagi menangani isu berkenaan sambil menyifatkan akses penerbangan mampu milik antara Sabah dan Semenanjung sebagai perkara penting yang melibatkan kepentingan rakyat.



