amree13/01/2026 - 17:40 Oleh Amree Ahmad amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Jan – Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) mengumumkan peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Risiko syarikat tersebut, Jeneral (B) Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Kumpulan itu memaklumkan Bursa Malaysia, pengunduran ini turut melibatkan kapasiti beliau sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, yang berkuat kuasa secara serentak pada 12 Januari 2026.
Susulan perubahan tersebut katanya, komposisi Jawatankuasa Risiko BHIC kini terdiri daripada seramai empat anggota, antaranya Laksamana Madya (B) Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.
"Turut serta ialah Kamarul Baharin Tengku Zainal Abidin, Datuk Mearia @ Massahariah Hamzah, dan Ahmad Farouk Mohamed, dengan kesemuanya ialah Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas," katanya
Zamrose, 64, graduan Ijazah Sarjana Sastera Analisis Data dan Keselamatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menyandang Panglima Tentera Darat ke-28 dari 11 Jun 2020 hingga 22 Mac 2023.
BHIC turut memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang syarikat berkenaan sedang dalam proses mengenal pasti pengganti bagi mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Risiko tersebut dengan segera.
Makluman berkenaan jelas kumpulan tersebut dibuat selaras dengan keperluan pendedahan di bawah Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia. - DagangNews.com

